BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan,

Semoga tuan senantiasa dirahmati oleh Allah S.W.T,

Saya ingin bertanya tentang Zakat selepas kematian jika kematian berlaku pada bulan Jun 2025 tahun lepas.

1) Jika belum tunaikan zakat untuk tahun 2024, Jumlah zakat adakah dikira pada akhir Disember 2024 atau pada tarikh kematian.?

2) Apakah keseluruhan harta wajib peninggalan wajib di kira sebagai zakat pada tahun 2025. walaupun belum cukup satu tahun.?

3) Jika ada dividen daripada saham selepas kematian dan sebelum pembahagian pusaka. Adakah dividen itu mesti dimasukkan dalam pengiraan zakat?

4) Jika hanya mendapat surat takbir harta pada bulan Februari 2026. Adakah jumlha zakat dikira berdasarkan jumlah harta pada Februari 2026.

Harap pihak tuan yang arif berkenaan hal ini dapat menjelaskan agar saya dan keluarga dapat menunaikan rukun islam yang diwajibkan.

Terima kasih saya dahulukan atas segala nasihat and tunjuk ajar.

Yang bertanya

Mohd Akbar bin Mohd Razali


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, 

1) Zakat yang belum ditunaikan untuk tahun 2024 wajib dikeluarkan dari harta peninggalan si mati. Pengiraan zakat untuk tahun 2024 adalah berdasarkan keadaan harta si mati pada akhir haul (tempoh setahun) bagi harta tersebut, yang mungkin berakhir pada Disember 2024, atau pada tarikh haulnya yang spesifik jika berbeza. Jika si mati meninggal dunia pada Jun 2025, dan zakat 2024 belum dibayar, maka zakat 2024 tetap wajib dibayar. Sebagaimana dinyatakan di dalam Mawsu'h Fiqhiyyah Kuwaytiyyah:

ذهب جمهور الفقهاء إلى أن الزكاة لا تسقط بموت رب المال ، بل تخرج من تركته ، وإن لم يوص بها 

Maksudnya: Majoriti fuqaha berpendapat bahawa zakat tidak gugur dengan kematian pemilik harta, bahkan ia dikeluarkan dari harta peninggalannya, walaupun dia tidak mewasiatkannya.

2) Zakat hanya wajib ke atas harta yang telah mencapai nisab dan haul (tempoh setahun). Jika si mati meninggal dunia pada Jun 2025, maka zakat untuk tahun 2025 hanya akan dikira ke atas harta yang telah mencapai haulnya pada tarikh kematian tersebut. Harta yang belum cukup haulnya pada tarikh kematian tidak wajib dizakatkan untuk tahun 2025. Namun, jika ada harta yang haulnya telah sempurna sebelum kematian pada tahun 2025, maka zakatnya wajib dikeluarkan. Hal ini sebagaimana dinyatakan dalam Mawsua'h Fiqhiyyah Kuwaytiyyah:

فإن كانت الزكاة حالة في العام الحاضر الذي مات فيه، فإنها إما أن تكون زكاة حرث وثمر وماشية، أو زكاة عين (ذهب أو فضة). فإن كانت زكاة أموال ظاهرة كحرث وماشية ونحوها، فإنها لا تسقط بموته، بل تخرج من رأس ماله مقدمة على الكفن والتجهيز، سواء أوصى بها أو لا، لأنها من رأس المال

Maksudnya: Jika zakat itu wajib pada tahun semasa dia meninggal dunia, sama ada zakat tanaman, buah-buahan, ternakan, atau zakat wang (emas atau perak). Jika ia adalah zakat harta yang nyata seperti tanaman, ternakan dan seumpamanya, maka ia tidak gugur dengan kematiannya, bahkan ia dikeluarkan dari modalnya mendahului kafan dan persiapan pengebumian, sama ada dia mewasiatkannya atau tidak, kerana ia adalah dari modal.

3) Dividen yang diterima selepas kematian si mati dan sebelum pembahagian pusaka adalah sebahagian daripada harta peninggalan. Sepanjang tempoh selepas kematian sehingga harta pusaka tersebut sempurna difaraidkan, harta tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat kerana belum memenuhi syarat milikan sempurna oleh pewaris.

4) Seperti jawapan no. 3), sepanjang tempoh selepas kematian sehingga harta pusaka tersebut sempurna difaraidkan, harta tersebut tidak wajib dikeluarkan zakat kerana belum memenuhi syarat milikan sempurna oleh pewaris. Tarikh penerimaan surat tadbir tidak ada kaitan dengan pembayaran zakat.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 13

message user image