Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Ayam yang sudah sembelih dan dijual tanpa membersihkan bahagian dalam yang ada usus dan najis. Apa hukum nya?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, jual beli tersebut adalah dibolehkan dan sah hukumnya, kerana cukup rukun dan syarat jual beli. Barang dan harga telah diketahui. Adapun ijab dan qabul adalah bukti redha. Firman Allah SWT Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” (an-Nisa : 29) Selama mana pembeli dan penjual saling redha dan bersetuju dengan urusan jual beli ayam tersebut hukumnya adalah sah. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.