Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Ibu saya telah meninggal dunia pada 10/10/2025
Hari lahirnya ialah 30/11/1940
Semasa hidupnya arwah ibu ada menyatakan yg dia tidak meninggalkan puasa disaat sudah tua..tetapi tidak ingat berapa hari yang dia tinggalkan semasa muda, kerana pernah menggantikan puasanya..
Bagaimana hendak mengirakan hari untuk fidyah arwah.. bolehkan dianggarkan sahaja ,dan jika boleh berapa hari yang wajib dibayar
Sekian soalan saya
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan,
1) Jika arwah ibu tuan tidak dapat mengganti puasa yang ditinggalkan kerana uzur yang berterusan (seperti sakit yang tidak sembuh atau keuzuran tua) sehingga meninggal dunia, maka tidak ada kewajipan qada' atau fidyah ke atasnya. Ini kerana beliau tidak sempat untuk mengganti puasa tersebut. Dalam kitab Mausu'ah Fiqhiyyah Kuwaitiyah menyebutkan:
Maksudnya: Sesiapa yang meninggal dunia dan mempunyai puasa yang terlepas disebabkan sakit atau musafir, atau uzur-uzur lain dan tidak sempat menggantinya sehingga dia meninggal dunia, maka tiada apa-apa ke atasnya, tidak perlu dipuasakan baginya dan tidak perlu diberi makan (fidyah) baginya, berdasarkan sabda Nabi ﷺ: 'Apabila aku memerintahkan kamu sesuatu, maka lakukanlah seberapa yang kamu mampu.
2) Jika arwah ibu tuan mempunyai peluang untuk mengganti puasa yang ditinggalkan (uzur telah hilang) tetapi beliau tidak melakukannya sehingga meninggal dunia, maka terdapat perbezaan pandangan ulama:
Perkara ini disebut dalam kitab Mausu'ah Fiqhiyyah Kuwaitiyah sebagaimana berikut:
Maksudnya: Adapun sesiapa yang meninggal dunia setelah dia mampu untuk mengganti puasa tetapi tidak berpuasa, maka mazhab Hanafi, Maliki, dan Hanbali, dan ini adalah dua pendapat yang paling masyhur di kalangan Syafie, dan ia adalah pendapat Al-Laith, Al-Thawri, Al-Awza'i, Ibn 'Ulayyah, dan Abu Ubaid, bahawa dia wajib memberi makan seorang miskin bagi setiap hari, berdasarkan hadis Ibn Umar RA bahawa Nabi ﷺ bersabda: 'Sesiapa yang meninggal dunia dan mempunyai hutang puasa sebulan, maka hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari.
Justeru, memandangkan arwah ibu tuan menyatakan tidak meninggalkan puasa ketika sudah tua, tetapi tidak ingat berapa hari yang ditinggalkan semasa muda, dan pernah menggantikannya, ini menunjukkan ada kemungkinan beliau meninggalkan puasa pada masa muda dan tidak sempat mengganti sepenuhnya.
Dalam situasi ini, jika jumlah hari yang tepat tidak diketahui, tuan boleh membuat anggaran yang munasabah berdasarkan maklumat yang ada. Tiada kaedah yang ditetapkan secara syarak untuk mengira secara tepat hari yang tidak diketahui, namun ulama membenarkan anggaran yang lebih hampir dan terbaik.
Sekian, terima kasih.