Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Asslamualaikum wbt ustaz/ustazah.
Saya ada soalan mengenai istihadah dan haid pada bulan ramadhan.
Sebelum ni haid saya bermula daripada 5/2/2026 (3.30pm) dan berakhir pada 16/2/2026 (jangkaan pada/sebelum waktu magrib - saya tak berapa pasti). Pada 25/2/2026, darah datang semula dan saya masih dalam tempoh suci minimum 15 hari, makanya darah itu menjadi darah istihadah.
Kemudiannya pada 3/3/2026, tempoh suci saya sepatutnya habis pada hari ini (jangkaan pada/sebelum magrib) dan akan dikira haid jika darah masih lagi ada.
Persoalan saya di sini: Adakah saya perlu berpuasa pada hari 3/3 dan menganti semula hari 3/3 kerana saya dikategorikan haid pada/sebelum magrib dalam kiraan tempoh minimum suci 15 hari? Atau saya tidak perlu berpuasa pada hari ini?
Jawapan
Merujuk soalan yang diajukan,
Saudari tetap perlu berpuasa seperti biasa. Ini kerana, saudari masih berada dalam keadaan suci di mana berkewajipan untuk puasa serta terdapat kemungkinan tiada darah yang keluar lagi daripada asar sehingga maghrib. Namun, apabila selepas asar iaitu (masa anggaran) bermulanya kitaran haid seterusnya masih keluar darah, maka puasa pada hari tersebut dikira tidak sah dan perlu diqada' semula.
Sekian, terima kasih.