BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wrt wbkt,

Saya mempunyai kemusykilan dari sudut penentuan darah haid dan istihadah bagi anak yang mempunyai haid tidak teratur.

Pada 4/10/2025 sehingga 8/10/2025, anak saya didatangi haid selama 5 hari.

Kemudian, dia suci daripada tarikh 9/10/2025 hingga 17/10/2025 iaitu 9 hari.

Namun, pada 18/10/2025 darah keluar semula sehingga 27/10/2025. Ini menjadikan jumlah harinya adalah 9 hari.

Kemudian, dia suci dari 28/10/2025 hingga 3/11/2025 (7 hari).

Setelah itu, darah keluar semula pada 4/11/2025 sehingga 24/11/2025 selama 21 hari sebelum suci pada 25/11/2025 hingga 5/11/2025 (10 hari).

Saya keliru dari sudut pengiraan sama ada untuk mengikut tempoh maksimum haid atau tempoh minimum suci kerana kedua-dua ini memberikan implikasi berbeza dari segi penentuan haid dan istihadah terhadap darah yang keluar.

Sehubungan itu, saya sangat berharap agar tuan dapat membantu dari segi penentuan haid dan istihadahnya bagi membolehkan dia beribadah dengan yakin. 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, sebanyak-banyak darah haid adalah 15 hari 15 malam dan sekurang-kurang haid adalah sehari semalam (24 jam). Darah yang keluar berterusan melebihi tempoh maksimum haid atau darah yang keluar ketika belum cukup tempoh minimum suci (15 hari), ia menunjukkan berlakunya percampuran antara darah haid dan darah istihadhah. Bagi menentukan perbezaan darah haid atau istihadhah, ia boleh dikenal pasti dengan dua kaedah iaitu:

  1. Kaedah tamyiz ( membezakan) jenis darah  dengan menentukan darah yang kuat dan lemah melalui perbezaan warna tersebut. Darah kuat dianggap sebagai darah haid sebaliknya darah lemah adalah darah istihadhah. Jika tidak dapat dibezakan dibezakan darah tersebut maka perlu menggunakan kaedah yang kedua iaitu kaedat adat;

  2. Kaedah adat dengan melihat adat kebiasaan tempoh haid dan tempoh suci yang terdekat (bulan sebelumnya) 

Merujuk kepada persoalan, disimpulkan jawapan seperti berikut:

4/10/2025 - 8/10/2025 (5 hari): dihukumkan sebagai darah haid kerana telah memenuhi syarat asas haid iaitu darah keluar melebihi tempoh 24 jam atau sehari semalam secara berterusan dan tidak melebihi tempoh maksimum haid (15 hari 15 malam)

9/10/2025 - 17/10/2025 (9 hari): Keadaan darah telah berhenti menunjukkan tempoh suci bermula. Namun, jika darah keluar semula dalam tempoh 15 hari  (maksimum haid), keadaan tiada darah ketika itu dikenali sebagai naqa' (bersih daripada darah) yang berada di celah-celah darah haid. 

18/10/2025 - 27/10/2025: Darah keluar kembali sebelum hari ke 15 dan berterusan sehingga melebihi tempoh maksimum haid. Ia menunjukkan berlakunya percampuran antara darah haid dan istihadhah.  Jadi, bagi menentukan darah haid atau istihadhah mestilah merujuk kepada dua kaedah yang telah diterangkan di atas. 

Contoh Kaedah Tamyiz: 4/10/2025 - 8/10/2025 (5 hari) merupakan darah merah kehitaman iaitu darah kuat. Manakala darah yang keluar semula pada 18/10/2025 - 27/10/2025 (9 hari) merupakan merah biasa iaitu darah lemah. Jadi, hanya darah kuat sahaja dihukumkan sebagai darah haid, manakala darah lemah adalah darah istihadhah. Jika tidak dapat membezakan sifat darah, perlu merujuk kepada adat haidnya yang terakhir sebelum berlaku situasi istihadhah sekarang iaitu bulan September. 

28/10/2025 - 3/11/2025 (7 hari): Masih tempoh suci

4/11/2025 - 24/11/2025 (21 hari): Darah yang keluar pada awalnya dihukumkan sebagai haid (kitaran baru). Namun, darah yang keluar adalah berterusan sehingga melebihi tempoh maksimum haid. Jadi, ia juga perlu ditentukan sebagaimana kaedah di atas iaitu menggunakan kaedah tamyiz jika dapat membezakan sifat darah yang keluar. Sebaliknya, jika tidak dapat membezakan sifat darah, hendaklah mengikut adat haidnya yang paling hampir. 

Jawapan yang diberikan adalah bersifat umum. Ini kerana untuk mendapatkan jawapan yang lebih tepat perlu kepada pengetahuan terhadap sifat-safat darah yang keluar pada setiap tarikh yang dinyatakan.

 والله أعلم بالصواب

Sekian. Terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 13

message user image