Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin mendapatkan kepastian berkenaan darah haid dan istihadah, saya telah suci dari haid seminggu yang lalu dan hari ini ada darah keluar seperti darah haid, untuk makluman saya juga baru 4 bulan bersalin dan mengambil suntikan perancang. Oleh itu saya ingin mendapatkan kepastian sama ada darah yang keluar sekarang adalah darah haid atau istihadah?
Jawapan
Secara asasnya, sekurang-kurang darah haid adalah 24 jam atau sehari semalam, sama ada darah keluar secara berterusan atau terputus-putus selama 15 hari 15 malam.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, sekiranya darah yang keluar selepas seminggu dari tarikh akhir haid, tidak melebihi tempoh maksimum 15 hari tempoh haid, maka darah itu adalah darah haid. Ini bermakna, tempoh tiada keluar darah di antara darah pertama dan darah kedua dikira sebagai tempoh haid juga yang dipanggil sebagai naqa'.
Contoh: 5 hari darah keluar, 7 hari tiada darah, kemudian darah keluar semula selama 2 hari. Ini bermakna, darah yang keluar masih dalam tempoh maksimum 15 hari haid. Jadi keseluruhan tempoh itu adalah tempoh haid, termasuk hari yang tidak keluar darah.
Namun sekiranya darah yang keluar berterusan melebihi 15 hari dari hari pertama keluar darah, maka ini bermakna telah bercampur darah haid dan istihadhah.
Contoh: 5 hari darah keluar, 7 hari tiada darah, kemudian darah keluar semula selama 5 hari.
Jika darah yang keluar dapat dibezakan seperti darah 5 hari awal berwarna gelap dan 5 hari yang kedua lebih lemah, maka 5 hari yang pertama darah keluar itulah haid, dan 5 hari yang kedua adalah istihadhah.
Namun jika sifat darah tidak dapat dibezakan, maka perlu melihat kepada adat kebiasaan tempoh haid pada kitaran yang terakhir sebelumnya. Jika tempoh haid terakhir sebelum ini adalah 4 hari, maka tempoh haid dikira sebanyak 4 hari dan darah yang keluar pada hari yang ke 5 dianggap sebagai istihadhah. Jika tempoh haid terakhir sebelum ini adalah 7 hari, maka tempoh haid dikira sebanyak 5 hari sahaja, kerana tiada darah yang keluar pada hari yang ke 6 dan ke 7.
Sekian, terima kasih.