Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum ust saya ada soalan. nenek saya kematian suami pada 5 disember 2018 yg lepas di pahang. saya berhajat untuk mengadakan majlis tahlil arwah datuk saya bersekali dgn majlis bertunang adik di rumah saya di melaka. untuk makluman, saya mempunyai 2 orang adik beradik sahaja. ibu bapa kami telah bercerai semasa kami kecil dan kami tinggal bersama ibu, nenek dan arwah datuk sejak dari kecil lagi. persoalan saya ialah : 1. boleh atau tidak nenek saya hadir ke rumah saya di melaka untuk majlis tersebut dan akan tinggal beberapa hari di rumah saya memandangkan dia menjaga kami sejak kecil? 2. buat masa sekarang, nenek tinggal di rumah ibu saudara dan dijaga oleh ibu saudara sekeluarga. ibu saudara sekeluarga juga akan hadir ke melaka dan tidak ada orang yang akan menjaganya di rumah. dikhuatiri nenek untuk tinggal seorang di rumah dengan usianya 77 tahun. 3. apakah maksud tidak boleh keluar rumah dalam tempoh iddah? 4. kalau sekiranya nenek ikut hadir ke melaka, dia hanya akan ddk di dalam rumah dan tidak keluar dari rumah saya sepanjang dia tinggal di melaka. apakah itu dibolehkan? 5. tujuan untuk membawa beliau ke melaka adalah untuk menghilangkan kesedihan semenjak kematian suaminya, apakah itu dibolehkan?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, hukum asal adalah tidak boleh, kerana masih dalam tempoh iddah. Firman Allah SWT : وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَٰجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ۖ Maksudnya : “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.” (al-Baqarah : 234) Namun, terdapat nas yang diriwayatkan daripada Mujahid katanya yang bermaksud : “Ramai kaum lelaki syahid di dalam peperangan Uhud. Beberapa orang wanita yang tinggal berjiran dan suami mereka syahid datang mengadu kepada Rasulullah SAW. Mereka berkata” : “Ya Rasulullah, kami berasa sunyi di waktu malam. Bolehkah kami tidur di rumah salah seorang daripada kami? Apabila siang, kami masing-masing pulang ke rumah kami?”. Baginda menjawab : “Bercakaplah di rumah salah seorang kamu semahunya. Apabila kamu hendak tidur, pulanglah ke rumah masing-masing”. (Riwayat al-Baihaqi) Hadith ini menunjukkan bahawa harus keluar rumah, dengan syarat waktu siang sahaja. Wanita yang kematian suami bukan sahaja wajib beriddah, malahan wajib berihdad (berkabung), iaitu meninggalkan perbuatan berhias-hias atau apa-apa yang boleh menarik dan menjadi tumpuan orang ramai. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.