Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt,
Sekiranya kita lupa sesuatu peristiwa yang berlaku pada masa lalu atau seseorang yang pernah kita kenal, adakah cara untuk kita ingat semula, menggunakan amalan zikir atau bacaan-bacaan tertentu? Ingatan tersebut mungkin dapat mengurangkan pertelingkahan di antara suami isteri & menyelamatkan hubungan tersebut.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, terdapat galakkan untuk berzikir bagi sesiapa yang ingin mengingati apa yang telah dilupakannya. Ini bersandarkan kepada firman Allah SWT dalam Surah al-Kahfi ayat 24:
Maksudnya: Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu jika engkau lupa; dan katakanlah: "Mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini".
Sebahagian ulama mengambil umum ayat ini dengan mengatakan seseorang boleh berzikir dengan apa-apa bentuk zikir yang warid daripada Rasulullah SAW termasuklah berselawat ke atas junjungan Baginda SAW. Justeru, tuan boleh memperbanyakkan zikir agar diberi petunjuk oleh Allah SWT untuk mengingati apa yang telah dilupakan sebelum ini.
Sekian, terima kasih.