Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ada persoalan,
Saya ada masalah dimana kerap datang bisikan meragukan Al-Quran kerana saya pernah bingung dengan maksud salah satu ayat yang saya pernah baca.Saya cuba melawan bisikan itu tapi pemikiran tentang ayat tersebut membuat saya bersalah tetapi saya sudah lupa pada surah apa dan ayat keberapa dan isi kandungan ayat yang saya baca itu,persoalannya apakah saya dah jatuh murtad dan perlu mengucap 2 kalimah syahadah semula dan apakah saya perlu mencari ayat itu sehingga jumpa.
Mohon penjelasan
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, bisikan atau waswas sehingga mengganggu kehidupan harian mahupun ibadah merupakan penyakit yang perlu diubati. Waswas sering dikaitkan dengan gangguan syaitan yang membisikkan ke dalam hati manusia rasa ragu, keliru, takut untuk mengganggu pemikiran dan hati manusia. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Nas, ayat 4-6:
Maksudnya: Dari (aku berlindung dari) kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia. (Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia
Oleh itu, berusahalah dengan kesabaran dan berdoa untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT agar terhindar daripada masalah was-was ini. Firman Allah SWT dalam surah Al-A'raf,ayat 200:
Maksudnya: Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, bisikan itu tidak membawa kepada murtad selagi kita masih beriman bahawa tiada Tuhan selain Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW itu pesuruh Allah SWT.
Sekian, terima kasih.