Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt,
Saya pernah menunaikan Umrah pada tahun 2014 berumur 14 tahun. Sewaktu tu saya ragu² sama ada Umrah saya cukup rukun atau tidak, namun saya tidak menghiraukannya.
Memandangkan saya akan bernikah bulan depan, saya teringat kembali mengenai Umrah saya tersebut, dan saya risau nikah saya x sah jika saya Masih dalam Umrah.
Mohon bimbingan apa status saya, status Umrah saya, dan apa yang perlu saya buat?
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, keraguan yang timbul selepas menunaikan ibadah terutamanya umrah tidak diambil kira. Disebutkan dalam al-Manthur fi al-Qawa'id al-Fiqhiyyah (2/260):
Maksudnya: Ibn al-Qattam dalam al-Mutorrahat: Imam al-Shafi‘i membezakan antara syak ketika melakukan perbuatan dan syak selepas selesai melakukan perbuatan. Beliau tidak mewajibkan pengulangan bagi yang kedua (iaitu syak selepas selesai), kerana hal itu akan membawa kepada kesukaran. Jika seseorang yang sedang solat dibebankan untuk sentiasa mengingati setiap perincian secara tepat, nescaya dia tidak akan dapat menunaikan solat, kerana hal itu amat sukar dan tidak mampu ditanggung oleh sesiapa pun. Maka diberikan kemaafan (rukhsah) dalam perkara tersebut. Penjelasannya dapat difahami melalui beberapa contoh:
Antaranya:
Jika seseorang telah melakukan tawaf untuk umrah, kemudian dia syak sama ada dia melakukan tawaf itu dalam keadaan suci atau tidak, maka dia tidak wajib mengulangi tawaf tersebut, kerana pada zahirnya dia telah menunaikan ibadah itu. Maka hukum yang telah sabit bagi ibadah tersebut tidak gugur hanya dengan syak.
Justeru, umrah yang dilakukan adalah sah dan tuan tidak lagi dianggap berada dalam keadaan ihram.
Sekian, terima kasih.