BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

1. Seseorang perempuan yang belum berkahwin tidak berfikir perkara ii kotor tapi lintasan tersebut tiba - tiba wujud dalam otak sehingga membuatkan dia rasa berdebar dan cemas. Adakah cecair yang keluar dari faraj tersebut dikira air mani, air mazi atau air wadi atau keputihan? Ini terjadi semasa dia selesai membuang air kecil cecair tersebut keluar ketika dia sedang mencuci kemaluan, pada mulanya mencuci kemaluan tiada cecair kemudian keluar cecair seperti keputihan biasa tiada tanda ii seperti air mani dari segi bau dan masa keluar cecair tersebut tanpa rasa nikmat dan letih. Adakah lebih baik mandi wajib?

2. Berdasarkan soalan 1, seseorang tu rasa was - was nak mandi wajib dan ada gangguan yang mengganggu fikiran seperti perkara ii syirik. Adakah dia perlu teruskan dengan keputusan untuk mandi wajib sebab dia tak yakin samaada cecair yang keluar tersebut air mani atau keputihan biasa.

3. Adakah air mani lelaki dan wanita sama?

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

1)  Berdasarkan keterangan saudari, cecair tersebut bukanlah air mani, melainkan ia berkemungkinan besar adalah air mazi atau keputihan biasa.

Dalam Islam, air mani lelaki mempunyai ciri-ciri khusus iaitu:

  • Keluar dengan perasaan lazat (syahwat) yang memuncak.

  • Keluar secara memancut (pancutan).

  • Diikuti dengan rasa lemah atau lesu (fatarah) setelah ia keluar.

  • Mempunyai bau yang khas (seperti bau mayang kurma atau tepung basah).

Oleh kerana saudari menyatakan cecair tersebut keluar tanpa rasa nikmat, tidak menyebabkan keletihan, dan rupanya seperti keputihan biasa, maka ia tidak memenuhi kriteria air mani. Memandangkan ia keluar selepas membuang air kecil, ia juga boleh dikategorikan sebagai wadi (cecair pekat yang keluar selepas kencing atau ketika penat). Sehubungan itu, saudari tidak wajib mandi wajib. Memadai dengan membasuh kemaluan (istinjak) dan berwuduk jika ingin bersolat.

2) Dalam kaedah fiqh, terdapat satu kaedah yang sangat masyhur iaitu:

اليقين لا يزول بالشك 

Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan (syak).

Tidak perlu mandi wajib sekiranya was-was atau tidak pasti ia adalah air mani. Hanya perlu mandi wajib sekiranya yakin secara pasti ia adalah air mani.

3) Air mani lelaki dan air mani wanita tidak sama dari sudut sifat fizikal. Air mani lelaki kebiasaannya berwarna putih pekat dan mempunyai bau yang lebih ketara. Air mani wanita pula jernih dengan sedikit kekuningan.

Air mani lelaki mengandungi sperma sel pembiakan. Air mani wanita tidak mengandungi sel pembiakan seperti lelaki.

Air mani wanita disebut 'mani' seperti air mani lelaki kerana 'mani' berasal dari bahasa Arab yang bermaksud memancut. Air mani wanita juga memancut (sama ada sedikit atau banyak, kelihatan atau tidak kelihatan) ketika keluar semasa wanita mencapai kemuncak syahwat atau klimaks. Disebut juga dalam bahasa Inggeris dengan 'squirting'. Dikatakan ia datang dari pundi kencing wanita, namun kandungaurea adalah kurang jika dibandingkan dengan air kencing. 

Walaupun terdapat perbezaan dari aspek sifat, hukum bagi kedua-duanya adalah sama, iaitu mandi wajib diperlukan apabila air mani keluar bersama syahwat yang memuncak dan rasa nikmat.

الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 14

message user image