Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Tuan; apakah hukum memaafkan dan tidak memaafkan seseorang dalam islam? seterusnya boleh kah kita tidak redai perbuatan seseorang?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, isu memaafkan dan tidak memaafkan seseorang berkait rapat dengan akhlak dan kedudukan hati di sisi Allah. Orang yang memaafkan akan mendapat keampunan Allah dan diangkat darjat yang tinggi. Memaafkan dapat membantu membersihkan hati daripada sifat marah dan benci. Jika seseorang dizalimi, dia boleh menuntut keadilan. Islam tidak mewajibkan memaafkan, tetapi menggalakkan perbuatan memaafkan.
Perbuatan memaafkan kesalahan orang lain merupakan perkara yang dituntut di dalam Islam, bahkan orang yang pemaaf termasuk daripada kalangan yang dijanjikan syurga Allah SWT kelak seperti menurut firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 133-134:
Maksudnya: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”
Namun, menyimpan dendam berpanjangan boleh membawa kepada sifat mazmumah (buruk) yang akan merosakkan hati. Jika seseorang melakukan kesalahan atau kezaliman, kita tidak perlu redha dengan perbuatannya. Kita boleh memaafkan orang itu sebagai individu. Tetapi kita tetap tidak redha dengan perbuatan salahnya (contoh: menipu, mencuri, menganiaya). Redha dengan perbuatan maksiat atau kezaliman adalah dilarang. Kita boleh memaafkan orangnya, tetapi tetap menolak perbuatannya. Memaafkan orang itu mulia, tetapi tidak redha dengan perbuatan salah adalah wajib.