BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Pada bulan ramadan (16 ramadan) ketika waktu sahur saya pergi ke tandas dan ketika keluar dari tandas terdapat baki 1 minit sebelum memasuki waktu subuh (sangkaan saya). Saya telah minum segelas air pada jam 6.18 pagi dengan yakin belum masuk waktu subuh. Walau bagimanapun sangkaan saya salah. Waktu subuh adalah pada jam 6.18 pagi dan bukan 6.19 pagi seperti hari sebelum. Untuk makluman rumah saya jauh dari masjid atau surau maka tidak kedengaran azan dan saya hanya bergantung kepada aplikasi solat yang kadang kala terdapat masalah teknikal

Soalan.

1. Adakah sah puasa saya?

2. Adakah saya berdosa kerana tersalah waktu subuh?

3. Adakah saya pergi menggantikan puasa saya?

 

terima kerana membantu


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi menjelaskan dalam kitab Raudhah al-Talibin bahawa:

وَلَوْ أَكَلَ ظَانًّا غُرُوبَ الشَّمْسِ، فَبَانَتْ طَالِعَةً، أَوْ ظَنَّ أَنَّ الْفَجْرَ لَمْ يَطْلُعْ، فَبَانَ طَالِعًا، أَفْطَرَ عَلَى الصَّحِيحِ الْمَنْصُوصِ، وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ

Maksudnya : Jika seseorang makan kerana menyangka tenggelamnya matahari namun ternyata belum tenggelam atau menyangka fajar belum timbul namun ternyata telah timbul, dikira batal puasanya mengikut yang sahih daripada teks mazhab Shafi’i dan ia adalah pandangan jumhur ulama’ (Shafi’i). 

Justeru, puasa tuan telah batal dan wajib qada’.

Adapun daripada sudut berdosa ataupun tidak, Islam memberi kemaafan kepada mereka yang tersilap dalam urusan agama. Diriwayatkan daripada Abu Dzar al-Ghifari RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya : Sesungguhnya Allah SWT memaafkan dari umatku sesuatu yang dilakukan kerana tersalah, terlupa dan sesuatu yang dipaksakan kepadanya.(Riwayat Ibn Majah)

Oleh itu, jika berbuka lebih awal (belum masuk waktunya) maka batal puasa tetapi tidak berdosa, namun wajib diqada’. Sebagai makluman, sila rujuk kepada jadual waktu solat yang telah dimuatnaik di laman web Jabatan Mufti Negeri setempat bagi mendapatkan waktu solat yang tepat.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 11

message user image