Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Pihak masjid ada membuat kutipan untuk jamuan iftar dengan jumlah yang tertentu. Katakan dalam sehari pihak masjid tetapkan RM5000 untuk tajaan sehari bagi program berbuka puasa. Hasil dari kutipan tersebut pihak masjid hanya menggunakan separuh sahaja dari jumlah bayaran tersebut (yang pada asasnya disumbang untuk jamuan iftar) dan baki digunakan untuk program selain daripada iftar. Apakah hukum penggunaan tersebut? adakah ia dibenarkan ataupun tidak?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, isu ini berkait rapat dengan amanah serta tujuan sumbangan yang diberikan oleh para penderma. Apabila pihak masjid membuat kutipan dengan menetapkan jumlah tertentu khusus untuk jamuan iftar, maka sumbangan tersebut dianggap sebagai sumbangan bersyarat (muqayyad), iaitu terikat dengan tujuan yang telah dinyatakan. Oleh itu, penggunaan wang tersebut hendaklah selari dengan niat dan maksud asal penderma.
Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam Surah An-Nisa’ ayat 58:
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya.
Ayat ini menjadi asas bahawa setiap amanah, termasuk wang sumbangan, wajib digunakan mengikut tujuan yang telah ditetapkan. Sehubungan itu, sekiranya kutipan dibuat secara jelas khusus untuk jamuan iftar, tetapi hanya sebahagian sahaja digunakan dan bakinya disalurkan kepada program lain tanpa makluman atau keizinan penderma, maka tindakan tersebut tidak dibenarkan dan boleh termasuk dalam isu pelanggaran amanah, walaupun tujuan penggunaannya adalah baik. Sebaliknya, jika sejak awal telah dimaklumkan bahawa lebihan akan digunakan untuk tujuan lain, atau terdapat keizinan daripada penderma sama ada secara jelas atau berdasarkan amalan kebiasaan (uruf), maka penggunaannya adalah dibolehkan.
Kesimpulannya, penggunaan lebihan dana daripada kutipan iftar hendaklah bergantung kepada niat asal sumbangan dan tahap kejelasan makluman kepada penderma. Jika ia terikat secara khusus, maka wajib digunakan untuk tujuan tersebut sahaja. Namun, jika terdapat keizinan atau ketelusan dari awal, maka penggunaan lebihan bagi tujuan lain adalah harus dan dibenarkan.