Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Apakah berdosa mengeluh kerana hari yang panas.selain itu,apakah hukum mengeluh kerana sistem buatan manusia yang tidak adil atau internet yang perlahan atau kerana kalah ketika versukan kerana semua yang terjadi itu kehendak Allah ,apakah mengeluh seperti itu ibarat mengeluh ketentuan Allah
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, mengeluh adalah perkara yang perlu diperincikan kerana tidak semua bentuk keluhan itu sama hukumnya dalam Islam. Secara asasnya, Islam membezakan antara keluhan yang dilarang dan keluhan yang dibenarkan, bergantung kepada apa yang terlintas dihati serta bagaimana ia diungkapkan oleh seseorang.
Jika seseorang mengeluh dengan menidakkan ketentuan Allah SWT (qada’ dan qadar), seperti berasa marah, tidak reda atau mempersoalkan ketetapan-Nya, maka hal ini tidak dibenarkan dan boleh membawa kepada dosa. Seorang Muslim dituntut untuk bersabar serta menerima ketentuan Allah dengan hati yang reda. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 286:
Maksudnya: Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.
Namun begitu, jika keluhan itu sekadar meluahkan rasa penat, tidak selesa atau menyatakan keadaan tanpa menyalahkan Allah, maka ia adalah dibolehkan. Bahkan para nabi sendiri pernah meluahkan kesedihan kepada Allah, seperti yang disebut dalam Surah Yusuf ayat 86:
Maksudnya: Sesungguhnya aku mengadu kesusahan dan kesedihanku hanya kepada Allah.
Berdasarkan penjelasan ini, mengeluh tentang cuaca panas seperti berkata “panasnya hari ini” adalah harus kerana ia hanya menyatakan keadaan. Begitu juga mengeluh tentang internet yang perlahan, sistem buatan manusia yang tidak adil, atau rasa kecewa kerana kalah dalam permainan semuanya dibolehkan selagi tidak disertai dengan sikap menyalahkan Allah atau mempertikaikan takdir-Nya.
Yang menjadi kesalahan adalah apabila keluhan itu sampai ke tahap menyalahkan Allah SWT, merasakan Allah SWT tidak adil atau mempertikaikan hikmah di sebalik sesuatu ketentuan. Itu termasuk dalam keluhan yang dilarang.
Kesimpulannya, bukan semua mengeluh itu berdosa. Mengeluh sebagai luahan biasa adalah dibenarkan, manakala yang dilarang ialah mengeluh dengan hati yang membantah dan tidak reda terhadap ketentuan Allah SWT. Ukurannya terletak pada keadaan hati dan maksud di sebalik keluhan tersebut.
Sekian. Terima kasih.