Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan, saya ingin bertanya adakah batal solat sekiranya terkena air kencing kucing ketika dalam solat. Di mana kucing datang memancut pada org sedang solat.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, suci daripada najis pada pakaian merupakan salah satu syarat sah dalam solat. Mengikut Imam Al-Ramli, beliau menyebut jika seseorang itu solat dalam keadaan tubuh pakaian atau tempat solatnya bernajis dan tidak mengetahuinya ketika permulaan solat kemudian setelah selesai baru dia tahu yang pada pakaian, atau tempatnya itu ada najis, maka dia wajib mengganti atau mengulangi semula solatnya. Ini adalah kerana suci daripada najis merupakan salah satu syarat sah solat. Apabila seseorang menyedari dan meyakini bahawa dia solat dalam keadaan tidak suci dari najis, maka solatnya tidak sah dan wajib diqada'.
Sekian, terima kasih.