Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya mempunyai beberapa kekeliruan tentang haid, puasa dan solat.
Situasinya begini:
Saya mendapati diri saya datang bulan pada jam 7malam (27/2/2026). Tetapi bukan darah merah yang keluar lebih kepada keputihan y bewarna coklat muda.
Kemudian pada jam 7pagi (28/2/2026) saya mendapati masih tiada darah merah haid yang keluar sepanjang tempoh 7malam (27/2/2026) sehingga 7pagi (28/2/2026). Sebaliknya hanya keputihan y bewarna abu2 yang keluar ketika mencuci bahagian faraj.
Tarikh sepatutnya datang bulan adalah pada 28/2/2026..kiraan datang bulan kebiasaanya normal 28 hari atau cepat sehari atau lewat sehari.
Persoalan saya:
1) adakah ini di kira darah haid berikutan warna coklat muda dan tiada darah merah lebih kepada bentuk keputihan?
2)adakah puasa saya pada 27/2/2026 sah atau sebaliknya?
3)perlukah saya mandi wajib selepas jam 7pagi (28/2/2026) berikutan tiada darah merah y keluar dari faraj.
4)bagaimana pula dengan solat saya?
Mohon pencerahan. Terima kasih ustaz.
Jawapan
Darah haid boleh berwarna hitam gelap, merah, perang/cokelat, kuning atau keruh. Menjawab persoalan yang diajukan:
1. Warna coklat muda yang keluar pada 27/2/2026 dianggap sebagai darah haid (permulaan haid sebelum keluar darah merah) sekiranya ia keluar pada tempoh kemungkinan haid iaitu selepas melalui paling kurang 15 hari tempoh minimum suci dan ia keluar mencukupi atau melebihi 24 jam selama masih pada tempoh 15 hari.
2. Sekiranya warna coklat muda yang keluar memenuhi syarat seperti di atas, maka ia dianggap sebagai haid dan puasa yang dilakukan adalah tidak sah.
3. Sekiranya spotting darah coklat muda atau keruh masih, maka tidak perlu mandi.
Sekiranya spotting darah itu keluar kemudiannya terhenti atau disebut sebagai naqa' (tidak kelihatan kesan darah pada kapas setelah dimasukkan ke dalam faraj), sebelum mencukupi 24 jam, maka tidak perlu mandi dan hendaklah solat serta berpuasa seperti biasa. Sekiranya berlarutan sehingga 15 hari dan darah yang keluar tidak mencukupi 24 jam, maka ia dianggap sebagai darah istihadhah. Solat dan puasa yang dilakukan adalah sah.
Namun sekiranya selepas naqa' (darah tidak keluar), darah keluar semula melebihi 24 jam, walau berselang selang (tidak berterusan) dalam tempoh 15 hari, maka ia dianggap sebagai darah haid, yang dikira bermula dari hari pertama keluar spotting darah coklat muda. Solat serta puasa yang dilakukan semasa tempoh naqa' adalah tidak sah, kerana ia dianggap sebagai tempoh haid. Tidak berdosa (kerana melakukan solat dan puasa ketika haid sebab tidak tahu ketika itu) dan tetap mendapat pahala kerana mentaati perintah Allah SWT. Sekiranya ini berlaku pada bulan Ramadhan, maka puasa hendaklah diqada'.
4. Sekiranya darah yang keluar memenuhi syarat darah haid, maka solat dan puasa adalah tidak sah.
Sekian. Terima kasih.