Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalammualaikum wbt,
Saya nak tanya pasal period saya ni,
Saya datang period pada 18/2 smpi 23/2. Selepas itu kering.saya mandi wajib semua solat seperti biasa,
Pada 28/2 malam saya bersama dgn suami dan esoknya 1/3 saya cek ada darah lagi tapi sikit² +lendir+ merah sampai harini 3/3. Lendir + darah merah cair tu bukan berterusan. Tengahhari sebelum nak solat zohor saya cek ade lendir+merah darah. Dan waktu petang sebelum maghrib ada sikit-sikit juga.
Persoalan saya ,adakah itu masih darah haid atau istihadah(penyakit)? Sebab Saya berumur 40tahun tahun ni. Dan adakah solat & puasa saya sah?
Terima kasih.
Jawapan
Secara umumnya, sebanyak-banyak darah haid adalah 15 hari 15 malam. Merujuk kepada persoalan, 18/2/2026 hingga 23/2/2026 (5 hari) merupakan darah haid. Kemudian darah kering selama 5 hari yang diistilahkan sebagai naqa’ (bersih daripada darah) yang berada di celah-celah darah yang berada dalam tempoh 15 hari kerana darah datang semula pada 1/3/2026 hingga 3/3/2026, walau darah yang keluar sedikit-sedikit, yang merupakan tempoh haid yang sama iaitu tidak melebihi 15 hari 15 malam.
Tindakan puan mandi wajib dan solat seperti biasa setelah diyakini darah telah kering adalah tindakan yang wajar. Hal ini kerana, apabila darah haid telah kering sebelum sampai tempoh adat kebiasaan haidnya, wajib ke atasnya mengambil hukum perempuan suci terlebih dahulu tanpa perlu menunggu tempoh tertentu (seperti menunggu sehari semalam). Justeru, wajib ke atasnya mandi wajib, mengerjakan solat fardu, mengerjakan puasa fardu dan boleh suaminya bersetubuh dengannya dan lain-lain.
Apabila darah merah bersama lendir keluar semula pada 1/3, walau sedikit-sedikit, ini menunjukkan bahawa tempoh haid belum berakhir. Memandangkan darah yang sedikit-sedkit itu keluar tidak melebihi 15 hari tempoh maksimum haid, maka sepanjang tempoh dari awal keluar darah 18/2 sehingga darah berhenti 3/3 dikira sebagai tempoh haid. Ibadah solat serta puasa Ramadhan yang dilakukan dalam tempoh 24/2 hingga 1/3, walau darah tidak keluar (tempoh naqa'), adalah tidak sah. Oleh itu puasa Ramadhan itu hendaklah diqada', manakala solat tidak perlu diqada'. Walaupun tidak sah, tetap mendapat pahala kerana mentaati perintah Allah. Tidak berdosa solat dan puasa ketika itu kerana belum diketahui ia adalah tempoh haid.
Sekian. Terima kasih.