Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum .. saya ada kemusykilan tentang haid.. jika setelah yakin haid berhenti kerana telah kering darah di luar dan dalam faraj, juga telah keluar lendir putih/jernih yang menandakan tamat haid dan telah mandi wajib serta solat... namun beberapa hari kemudian (masih dalam tempoh 15hari haid) keluar lendir keputihan seakan putih susu dan bertukar kekuningan di panty liner... adakah wajib mandi semula? saya keliru kerana pembimbing haji maklumkan jika keadaan ini berlaku dalam tempoh 15 hari haid wajib mandi semula... ada pula pandangan lain menyatakan tidak perlu mandi wajib semula kerana ia keputihan biasa yang bertukar kekuningan disebabkan perubahan hormon atau kesuburan. Tolong bantu saya kerana bimbang ibadah tidak sah jika keluar keputihan begini selepas suci sedangkan saya tidak mengulangi mandi wajib.
Jawapan
Secara asasnya, untuk mengenali darah haid, ia boleh dipastikan dengan mengetahui sifat-sifat darah melalui warna darah (hitam, merah, perang, kuning dan keruh), darah pekat atau cair dan darah berbau kuat dan kurang baunya. Jika warna-warna tersebut keluar dalam tempoh tidak melebihi tempoh maksimum haid 15 hari 15 malam, maka ia masih dianggap sebagai darah haid.
Merujuk soalan yang diajukan, darah berwarna kekuningan juga termasuk dalam warna-warna darah haid. Spotting yang keluar tersebut menepati ciri-ciri darah haid seperti yang disebutkan, maka ia dikira haid walaupun luar daripada kebiasaan. Oleh itu, saudari perlu mandi wajib semula apabila darah spotting telah habis dan kering.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.