Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Betul ka dalam islam perkara yang tak sengaja dilakukan, tidak semua dimaafkan?
2. Contohnya, Mandi selepas Subuh yang bertujuan untuk pergi ke kerja ketika bulan ramadan, seandainya air termasuk dalam telinga, puasa menjadi batal walaupun tidak sengaja?
3. Contoh seterusnya, mengguna kan lipstik di bulan ramadan , seandainya lipstik di bibir termasuk sedikit ke dalam mulut lalu tertelan tanpa sengaja, membatalkan puasa?
4. Contoh seterusnya, kalau memberus gigi selepas waktu subuh, tidak sengaja tertelan sedikit air basuhan, adakah batal puasa saya?
4. Saya menggunakan pelembab di tangan dan kaki ketika di negara seperti Saudi arabiah yang bertujuan untuk mengelakkan daripada kulit mengelupas dan kering. Selepas beberapa jam guna pelembab tersebut, saya melihat dan menyentuh kulit tangan dan kaki saya suda kering, selepas itu saya ambil wuduk tetapi ketika ambil wuduk saya merasakan ada sedikit lapisan pelembab di atas kulit saya disebabkan bersentuh dengan air, ada kah sah wuduk saya? . saya di faham kan lapisan yang sedikit yang tidak menghalang air untuk sampai ke kulit adalah sah, tetapi sedikit itu di nilai bagaimana?
Jawapan
Merujuk soalan yang diajukan, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ke atas umatku (perbuatan-perbuatan yang dilakukan) secara tersilap, terlupa, dan juga suatu yang dipaksa ke atas mereka.”
(Riwayat Ibnu Majah)
Ibn Rajab al-Hanbali ketika mensyarahkan hadith ini bahawa yang paling jelas menurut beliau, seseorang yang terlupa atau tersilap itu adalah dimaafkan. Dalam erti kata lain, terangkat dosa daripada kedua-duanya kerana suatu dosa itu dikenakan berdasarkan tujuan dan niat. Sedangkan orang yang terlupa dan tersilap, keduanya tidak ada niat ketika melakukannya, maka tiada dosa dikenakan kepada mereka. Adapun terangkat hukum daripada keduanya, maka ini bukanlah kehendak yang dimaksudkan daripada nas ini. (Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam).
Berdasarkan hadith tersebut, tidak berdosa orang yang melakukan kesalahan tanpa disengajakan kerana perbuatan tersebut tidak diiringi dengan niat dan tujuan. Oleh itu, bagi contoh-contoh situasi yang disebutkan, ibadah puasa batal kerana telah melanggar rukun puasa walaupun tanpa sengaja namun tidak berdosa. Adapun wuduk masih dikira sah sekiranya bahan tersebut tidak menghalang air menyentuh kulit.
Sekian, terima kasih.