Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalamualaikum Ustaz, Saya ingin bertanya. Jika selama ini saya melakukan perbuatan onani, dan bertahun tahun tidak mandi wajib. Ini secara langsung membuatkan saya tidak solat,puasa dan sebagainya. Pertanyaan saya,jika saya ingin bertaubat,perlukah saya mandi wajib hanya sekali untuk membolehkan saya solat,puasa dan yang lain2 atau perlukah saya mengqadakan mandi wajib saya selama mana saya tidak mandi wajib. Minta penjelasan Ustaz
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, sebaik sahaja menyesali perbuatan yang dilakukan dahulu, wajib mandi wajib sekali, tidak perlu qada’ mandi wajib yang sebelum ini ditinggalkan, dan bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat (taubat nasuha). Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (az-Zumar : 53) Disamping melakukan solat sunat taubat, solat-solat fardhu dan puasa yang tidak dilakukan dahulu wajib diqada semula. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.