Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz. Saya nak tanya, pada tahun 2022 saya tidak berpuasa 30 hari kerana mengandung. Dan tahun 2023 saya sudah bayar fidyah tapi masih tidak dapat ganti puasa kerana menyusu bayi, pada tahun 2023 saya juga tidak dapat ganti puasa kerana mengandung, dan pada tahun 2024 saya tidak dapat ganti puasa kerana menyusu juga. Persoalan saya, saya bayar fidyah utk tahun 2022 setiap tahun pada 2023 2024 dan 2025. Utk tahun 2026 ini, kiraan mcm mana ya? Ada yang kata gandaan 1 kali sahaja kerana saya bayar fidyah sebelum2 ni, ada kata kena bayar 4 kali ganda sbb saya dah melangkau tahun tidak ganti puasa. Mohon pencerahan ya Ustaz. Terima kasih banyak2.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, mengikut Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syara’ (FATWA) Negeri Selangor telah sebulat suara membuat keputusan bahawa:
Harus menggunakan 2 (dua) kaedah:
i. Gandakan fidyah dan kifarah mengikut tahun.
ii. Tidak digandakan kadar pembayaran fidyah dan kifarah.
Justeru, berdasarkan kepada keputusan ini puan dibenarkan untuk melunaskan bayaran fidyah puasa mengikut kaedah yang kedua iaitu tiada gandaan pada puasa yang ditinggalkan sekalipun tidak sempat menggantikan puasa sebelum datangnya bulan Ramadhan pada tahun terebut.
Bagi memudahkan urusan pengiraan dan pembayaran fidyah puan boleh layari pautan berikut: https://www.mais.gov.my/kalkulator-fidyah-puasa/, atau puan boleh ke Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri yang berhampiran selaku Pihak Berkuasa Agama yang menguruskan fidyah. Puan juga boleh ke mana-mana kaunter zakat berhampiran untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan pembayaran fidyah.
Sekian, terima kasih.