BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Saya mengalami gangguan kitaran haid dari tahun lepas. Umur awal 40an.

Ramadan ni darah 1 spot pagi dan petang/malam.

Tiada pendarahan seperti waktu period normal.

Bolehkah saya meneruskan puasa?

Perlukah saya mandi wajib setiap hari?

Moga dapat pencerahan. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, puan perlu mengira tempoh dari saat puan mula mendapati spot darah tersebut keluar sehingga tempoh keseluruhan darah itu mencapai 24 jam (sehari semalam). Dalam mazhab Shafi‘i, tempoh minimum haid ialah sehari semalam (24 jam).

Sebagai contoh, jika puan mendapati spot darah pada jam 6.20 pagi, kemudian memeriksa semula pada jam 1.20 petang, tempoh tersebut belum mencapai 24 jam. Dalam keadaan ini, puan masih dihukum suci dan spot yang keluar itu dianggap sebagai darah fasad (darah penyakit/istihadhah). Oleh itu, puan tidak perlu mandi wajib dan puan boleh meneruskan solat serta puasa seperti biasa.

Jika puan mendapati spot darah keluar lagi pada waktu lain, tempoh keluarnya darah itu hendaklah dikumpulkan dan dihitung bersama tempoh sebelumnya. Jika jumlah keseluruhan tempoh darah yang keluar itu akhirnya mencapai 24 jam, maka darah tersebut dihukum sebagai haid. Dalam keadaan ini, tempoh bermula daripada hari pertama puan melihat spot darah sehingga genap 24 jam itu dikira sebagai tempoh haid. Oleh yang demikian, puasa yang dilakukan dalam tempoh tersebut tidak sah dan perlu diqada’ selepas Ramadhan.

Adapun mandi wajib hanya perlu dilakukan apabila puan benar-benar suci iaitu apabila darah telah berhenti dan tiada lagi kesan darah selepas tempoh haid tersebut.

 الله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 45

message user image