Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam,
Saya ada membasuh baju di kedai dobi self-service.
Saya basuh menggunakan dua mesin berasingan.
Satu mesin untuk pakaian biasa, satu lagi mesin untuk membasuh toto. Toto saya terkena air kencing.
Setelah selesai mesin washer, saya dapati toto saya masih berbau sedikit air kencing
Akan tetapi, saya terus mencampurkan keduanya (pakaian + toto) ke dalam satu mesin dryer.
Jadi soalannya ialah adakah baju pakaian saya dikira sebagai najis?
Sekadar makluman, tiada apa2 bau, rasa atau kesan air kencing di pakaian saya.
Hanya ada bau air kencing di toto saya sahaja setelah selesai di mesin washer & dryer.
Terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, membasuh toto yang terkena najis menggunakan mesin basuh automatik adalah sah dan suci mengikut hukum syarak kerana proses bilasan mesin automatik memenuhi kriteria penyucian air mutlak.
Walau bagaimanapun, sekiranya didapati masih terdapat kesan nyata najis (seperti bau hancing, warna, atau rasa) selepas proses basuhan selesai, maka toto tersebut masih dikira bernajis dan perlu dibersihkan semula sehingga kesan tersebut hilang.
Mengenai penggunaan mesin pengering (dryer), pakaian lain yang dikeringkan bersama toto tersebut tidak dianggap bernajis selagi tiada perpindahan najis secara fizikal. Ini kerana proses di dalam mesin dryer tidak melibatkan penggunaan air yang boleh mengalirkan najis.
Bagi menjamin kebersihan yang sempurna, anda digalakkan untuk menghilangkan 'ain najis (najis yang nampak jelas) terlebih dahulu sebelum memasukkan pakaian ke dalam mesin basuh. Langkah ini penting bagi mengelakkan sisa najis tersebut merebak atau memberi kesan kepada bau, warna, dan rasa pakaian lain.
Sekian, terima kasih