Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1. Assalamualaikum, jika makmum hanya sempat solat 1 rakaat bersama imam dalam solat zuhur dan asar misalnya, bagaimanakah urutan 3 rakaat lagi? Setahu saya kalau tiga rakaat, rakaat yang pertama, kena duduk tasyahud awal, rakaat kedua kena teruskan berdiri, rakaat ketiga tasyahud akhir. Namun bagaimana jika rakaat pertama yang sepatutnya tasyahud awal tu saya terlupa, bila teringat saya teruskan rakaat yang kedua tanpa buat tasyahud awal. Adakah sah solat saya?
2. Jika turutan untuk makmum yang mendapat 1 rakaat untuk solat maghrib pula macam mana? Bila perlu tasyahud awal? Pada rakaat pertama atau kedua?
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, makmum yang sempat menunaikan satu rakaat daripada solat Zuhur, Asar atau Isyak, perlu menyempurnakan tiga rakaat yang berbaki, iaitu duduk tasyahhud awal selepas rakaat yang pertama, teruskan berdiri selepas rakaat kedua, dan tasyahhud akhir selepas rakaat ketiga. Tasyahhud awal, duduk ketika tasyahhud awal dan bacaan selawat ketika tasyahhud awal merupakan sunat ab'ad. Seseorang yang meninggalkan sunat ab'ad dengan sengaja atau terlupa disunatkan untuk menampungnya dengan sujud sahwi. Diriwayatkan daripada Halib Bani al-Muttalib ra:
Maksudnya: Bahawasanya Nabi Muhammad SAW berdiri dalam solat Zuhur sedangkan sepatutnya Baginda duduk (untuk tasyahhud awal). Di penghujung solat, Baginda melakukan dua kali sujud dengan bertakbir pada setiap sujud dalam keadaan duduk sebelum memberi salam. Para jemaah turut melakukan sujud tersebut bersama Baginda sebagai ganti bagi sujud yang mana Baginda terlupa untuk lakukannya. (Riwayat al-Bukhari & Muslim)
Sekiranya puan terlupa atau tidak tahu akan tuntutan untuk melakukan sujud sahwi ketika itu, maka ia tidak menjejaskan ibadah solat tersebut. Justeru, solat yang ditunaikan adalah sah.
Bagi persoalan kedua, puan perlu bertasyahhud awal pada rakaat pertama. Imam Nawawi mengatakan dalam Minhaj al-Talibin (ms 43):
Maksudnya: Sekiranya dia sempat mendapatkan satu rakaat daripada solat Maghrib (bersama imam), maka dia hendaklah bertasyahhud (awal) pada rakaat keduanya (iaitu rakaat pertama selepas selesai bersama imam).
Sekian, terima kasih.