BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam tuan/puan,

 

Saya ada beberapa soalan tentang najis

1. tayar dan rim saya terkena mayat anjing dan saya telah menyertu tayar dan rim tersebut pada tiga tahun lalu, sekarang saya was was kerana tidak mesmastikan salah satu bahagian rim (permukaan belakang) bebas ain najis kerana tidak mencabut rim tersebut daripada kereta. apakah sertu saya itu sah. Kerana sekarang jika lihat najis itu mungkin sudah tiada, apa yang boleh dibuat?

2.jika saya hanya mengesahkan sesetengah tempat itu ada najis, apakah hukum air percikan sertu

3. dalam masa yang sama , paip terkena tayar yang bebas ain tetapi belum suci di dalam keadaan basah. paip tersebut dibasahi air sertu dimana saya tidak mengesahkan sesetengah tempat bebas daripada najis seperti di atas , tempat berikut yang akan disentuh paip tersebut adakah berpindah najisnya?

4. saya terkena percikan air sertu, apa hukum percikan air jika sebagaimana di atas.

5. saya pernah makan di hotel bercampur halal dan non halal, saya telah membeli air dan nasi goreng yang tidak pasti halal haramnya tetapi pinggan mangkuk  cawan di sana berkongsi guna. apakah saya perlu sertu bahagian yang tersentuh makanan atau hanya bahagian yang bersentuhan pinggan mangkuk sahaja. saya terkesat mulut di baju setelah makan, dan perkara sudah lama berlaku, apakah yang saya perlu sertu jika baju tersebut masih ada.

6. saya ada penyakit kencing tidak lawas, saya was was ada terkotorkan ruang solat di merata tempat. apakah yang saya boleh buat darinsegi dosa saya jika saya betul telah melakukan perkara yang haram ini. saya pun telah solat di banyak tempat. saya telah menggunakan cara cara untuk memastikan tiada titisan seperti membalut dengan kapas atau tisu namun masih ragu ragu ia berkesan mengekang najis.

soalan soalan ini sehingga ingin membuat saya depressi, mohon pencerahan.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

...الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan yang diajukan:

1. Menurut mazhab Syafi'i dan Hanbali, anjing adalah najis 'ain (najis zatnya), dan cara menyucikan sesuatu yang terkena najis anjing adalah dengan membasuhnya tujuh kali, salah satunya dengan tanah.

Dalam persoalan hukum najis anjingPengarang kitab Mausu'ah Fiqhiyyah Kuwaitiyah•Jilid 36•Halaman 12 menyebutkan bahawa ويرى الشافعية والحنابلة أن الكلب نجس العين.

Mazhab Syafi'i dan Hanbali berpendapat bahawa anjing adalah najis 'ain (najis zatnya).

Cara Menyucikan Najis Anjing

ذهب الشافعية والحنابلة إلى أنه يجب غسل الإناء سبعا إحداهن بالتراب إذا ولغ الكلب فيه، لقول النبي ﷺ: طهور إناء أحدكم إذا ولغ فيه الكلب أن يغسله سبع مرات أولاهن بالتراب.

Mazhab Syafi'i dan Hanbali berpendapat bahawa wajib membasuh bekas tujuh kali, salah satunya dengan tanah, jika anjing menjilatnya, berdasarkan sabda Nabi ﷺ: 'Penyucian bekas salah seorang daripada kamu apabila anjing menjilatnya adalah dengan membasuhnya tujuh kali, yang pertama dengan tanah'.

Berdasarkan kepada penjelasan yang diberikan, Sertu anda adalah sah. Secara hukumnya, apabila anda menyiram air (tanah dan mutlak) ke arah rim dan tayar, air tersebut mengalir ke celah-celah dan bahagian belakang rim.

2. Air percikan dari proses sertu adalah dimaafkan dan tidak menajiskan yang lain. 

3. Paip air tersebut adalah kekal suci daripada najis dan tidak menajiskan kawasan yang lain.

4. Air percikan dari proses sertu adalah dimaafkan dan tidak menajiskan yang lain.

5. Bagi persoalan apabila anda makan di tempat yang bercampur halal dan non-halal, dan pinggan mangkuk serta cawan digunakan secara berkongsi, timbul keraguan tentang kebersihan dan kesuciannya.

Hukum asal sesuatu adalah suci ( الأصل في الأشياء الطهارة )

Di Malaysia, bagi premis atau hotel yang telah dipersijilkan halal JAKIM diwajibkan untuk mengasingkan peralatan dapur secara total. Jika tiada sijil, hukum asalnya adalah suci kecuali anda yakin 100% nampak kesan babi/ najis mughallazah pada pinggan tersebut. Tidak perlu sertu mulut atau baju. Jika sudah lama berlalu, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan kerana status najisnya hanyalah "sangkaan" bukan "keyakinan".

6. Adalah tidak berdosa di atas titisan kencing yang tidak sengaja keluar atau jika ia terkena ruang solat tanpa disedari. Dalam Islam, hukum bagi orang yang mempunyai masalah kesihatan adalah berbeza dengan hukum orang sihat. Selagi anda telah berusaha mengawal titisan tersebut, sebarang kekurangan adalah dimaafkan (Ma’fu ‘Anhu) kerana ia di luar kawalan manusia. 

Dalam hal ini,  Islam telah memberikan keringanan. Namun anda perlu berusaha sedaya upaya untuk mengelakkan najis daripada merebak, seperti yang anda lakukan dengan menggunakan kapas atau tisu.

Sebagai usaha mengekang najis, jika anda telah berusaha sebaik mungkin untuk mengekang najis (seperti membalut dengan kapas atau tisu), maka anda telah melaksanakan tanggungjawab anda. Keraguan (was-was) yang timbul selepas itu tidak perlu dilayan, kerana ia boleh membawa kepada kesukaran dalam beribadah dan kemudharatan yang lebih besar.

Bagi persoalan anda yang bersolat di banyak tempat dengan usaha sebaik mungkin bagi mengekang najis, solat anda adalah sah. Anda tidak berdosa atas najis yang mungkin terlepas keluar tanpa disedari setelah usaha terbaik dilakukan, kerana Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.

Dalam hal ini Islam mengajar kita untuk tidak berputus asa dari rahmat Allah. Jika anda telah berusaha dan masih ada keraguan, serahkan kepada Allah SWT. Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Anda tidak berdosa jika najis terlepas tanpa sengaja setelah anda mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 239

message user image