Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
1) terdapat kesan tapak kaki anjing (kesan tanah / lumpur) di simen halaman rumah tetapi dalam keadaan kering. Adakah perlu disertu?
2) bagaimana pula dengan kaki / selipar yang memijak lantai tersebut dalam keadaan kering.
3) bagaimana pula jika sebelah pagi tapak kaki anjing & simen kering, tetapi tengahari hujan menyebabkan lantai simen & tapak kaki anjing menjadi basah semula. Adakah perlu sertu selepas hujan berhenti. Kerana kesan tapak kaki anjing (tanah / lumpur) masih kelihatan
Jawapan
Bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu tempat itu terdapatnya najis dari segi ainnya, warna atau bau. Penyucian ke atas tempat-tempat yang diyakini terkena najis itu dilakukan apabila najisnya jelas kelihatan seperti tahi, air kencing atau selainnya sehingga hilang bau, rasa dan warna.
Islam menghukum berdasarkan sesuatu yang jelas sahaja. Sehubungan itu, jika najis sekadar andaian atau rasa-rasa, maka ia kembali kepada kaedah fiqh menyatakan:
Maksudnya: Keyakinan tidak dapat dihapuskan atau dihilangkan dengan sebab keraguan.
Merujuk kepada persoalan puan:
1) Kesan tapak kaki anjing (kesan tanah / lumpur) di simen halaman rumah yang kering tidak perlu disertu melainkan sekiranya diyakini terdapat najis anjing padanya. Cukup sekadar dibasuh sahaja halaman rumah tersebut.
2) Kaki / selipar yang memijak lantai tersebut dalam kering juga tidak perlu disertu kerana tidak terkena najis.
3) Kawasan tersebut tidak perlu disertu kerana kesan tanah atau lumpur daripada tapak kaki anjing itu tidak semestinya mengandungi unsur najis anjing. Sekiranya hujan turun dan membasahi lantai, kemungkinan besar kesan tanah atau lumpur tersebut akan hilang dihanyutkan air, sekali gus membersihkan simen tersebut secara semula jadi tanpa memerlukan proses sertu.
Sekian, terima kasih.