Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum... Betul ke ada ustaz cakap.. terima rasuah solat tidak diterima 40 hari? Jika ya.. Dan bagaimana dgn amalan yang baik yang dilakukan. Adakah mendapat pahala?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan, pengharaman rasuah adalah berdasarkan dalam sebuah hadis daripada Abdullah ibn ‘Amr RA meriwayatkan:
Maksudnya: Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Riwayat Ahmad)
Maksudnya: Siapa yang dagingnya tumbuh dari (makanan) haram maka neraka lebih patut baginya. (Riwayat Tirmizi)
Sesungguhnya rahmat Allah SWT itu amat luas dan pengampunanNya sangat terbuka bagi hambaNya yang ingin bertaubat. Moga-moga amalan yang dilakukan setelah taubat dengan niat yang ikhlas, Allah SWT akan menerima amalan baik tersebut dan diberi ganjaran pahala tersebut.
Kesimpulannya kita nyatakan bahawa menerima rasuah adalah dosa besar yang diharamkan dalam Islam. Walaupun ada pandangan yang menyatakan solat tidak diterima selama 40 hari bagi penerima rasuah, ini adalah peringatan tentang beratnya dosa tersebut, bukan bermaksud solat tidak perlu ditunaikan. Solat tetap wajib dan amalan baik lain yang dilakukan dengan ikhlas masih boleh mendapat pahala, namun keberkatan dan nilai pahala tersebut mungkin terjejas. Taubat nasuha (taubat yang sungguh-sungguh) adalah sangat penting untuk membersihkan diri daripada dosa rasuah.
Sekian, terima kasih.