Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Pertanyaan: Apa hukum suami yang sengaja mengelak untuk tidak punya anak dengan saya semata-mata untuk menjaga hati isteri tua? Isteri tua tidak benarkan suami untuk tidak ada anak kerana saya isteri muda. Jadi, apakah hukum perbuatan suami saya? Sedangkan saya sendiri memang inginkan anak.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan puan, tujuan perkahwinan tidak terbatas kepada hal-hal yang bersifat biologi semata-mata, tetapi meliputi semua aspek kehidupan berumahtangga zahir dan batin, termasuk mendapatkan zuriat bagi melangsungkan keturunan serta anak yang dapat mendoakannya, kerana termasuk dalam Maqasid as-Syariah – (حفظ النسل) Memelihara Keturunan. Oleh itu, sengaja mengelak untuk mempunyai anak adalah bercanggah dengan sunnah Rasulullah SAW dan menzalimi hak isteri untuk mengandung dan mempunyai anak. Sedangkan melakukan inzal pula dilarang, kecuali dengan keizinan isteri. lebih-lebih lagi mendapatkan anak yang sangat diinginkan oleh isteri. Seorang suami yang berpoligami bukan hanya perlu menjaga hati isteri tuanya sahaja, ia juga bertanggungjawab menjaga hati isteri mudanya secara adil. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.