BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz/ustazah, tuala saya yang baru dibasuh dan masih basah serta berbau pewangi/softener sebahagiannya terkena najis, kemudian saya bilas dengan air biasa tapi bau pewangi/softener yang digunakan masa basuhan tu masih ada, apakah hukumnya?. Najis tu sebab tuala tu tersentuh sangkar burung dalam keadaan basah cuma saya tak ingat adakah bahagian sangkar yang terkena tu betul² najis atau tak, sebab kadang² saya spray air masa mandikan burung saya dalam sangkar cuma tak pasti semua tempat sangkar tu kena ke spray air tu. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

1) Cara menyucikan pakaian atau tempat yang terkena najis adalah dengan mengalirkan air mutlak ke atas tempat yang terkena najis tersebut sehinggalah hilang 3 ciri utama iaitu ain, warna dan rasa. Sekiranya telah hilang maka tempat atau pakaian tersebut telah dikira suci. Justeru, apa yang puan lakukan telah menepati cara menyucikan pakaian daripada najis. Maka tuala tersebut telah suci dan bau tersebut tidak menjejaskan status kesucian tuala tersebut. 

2) Selain itu, bersuci itu wajib apabila diyakini sesuatu kawasan itu terkena najis . Namun jika tidak dapat dipastikan sama ada terkena najis ataupun tidak, maka para ulama telah memberikan garis panduan berkenaan perkara ini. Di antaranya adalah kaedah yang masyhur iaitu :

الْأَصْلُ بَقَاءُ مَا كَانَ عَلَى مَا كَانَ

Maksudnya : Asal bagi satu hukum adalah mengekalkan dia sepertimana hukum sebelumnya. 

3) Hukumnya tidak perlu menyucikan pakaian tersebut. Hal ini kerana pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah fiqh:

اليقين لا يزال بالشك

Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).

Justeru, puan hendaklah mengambil jalan yang yakin bahawa pakaian tersebut telah suci daripada najis dan tidak perlu untuk berwaswas atau syak wasangka bahawa sama ada pakaian itu masih lagi bernajis ataupun tidak.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 52

message user image