Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya perasan bahawa Mac 2026 akan datang akan ada perubahan undang-undang untuk mewajibkan anak-anak dewasa memberi nafkah kepada ibu bapa. Dalam contoh saya, keluarga itu mempunyai dua anak lelaki dan seorang anak perempuan. Kos sara hidup ibu sedang ditampung oleh anak perempuan (seorang peguam) dan lelaki (seorang kerani) tanpa sebarang masalah kini. Seorang lagi anak tidak sokong, dia bujang dan telah bersara dan ada simpanan dalam KWSP. Terdapat persetujuan lisan antara adik-beradik mengenai susunan seperti yang disebutkan di atas. Soalan saya: bolehkah ibu menuntut anak lelaki bujang itu untuk memberi sokongan nafkah kepadanya?
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, jawapannya adalah boleh bahkan dalam keadaan tertentu menjadi wajib ke atas anak tersebut untuk menanggung nafkah ibu. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Isra' ayat 23 :
Maksudnya: Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
Dalam ayat tersebut, perintah bergaul dengan baik dan berbuat baik kepada kedua ibu bapa oleh anak-anak tidak dapat dilaksanakan kecuali mereka mengambil tanggungjawab memberi nafkah kepada mereka berdua ketika diperlukan. Di samping itu, antara bentuk ihsan yang paling utama ialah memastikan keperluan hidup ibu bapa dipenuhi.
Selain itu, terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya sebaik-baik harta yang dimakan oleh seorang lelaki ialah harta yang diperolehi daripada hasil usahanya sendiri. Begitu juga anaknya adalah daripada hasil usahanya sendiri. Baginda bersabda lagi: “Dirimu dan hartamu adalah milik kepunyaan bapamu. Anak-anakmu adalah sebaik-baik hasil usahamu. Oleh itu, makanlah hasil usaha anak-anakmu.”
Riwayat Abu Daud (3528) dan al-Tirmizi (1358)
Sekian, terima kasih.