BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum tuan

Saya ingin bertanya, jika seseorang memberi zakat kepada saya bolehkah saya terima ? Saya berumur 35/36 tahun , bujang. Penganggur dan sedang membayar hutang PTPTN . Saya ada serba sedikit mengurus ibu di rumah. Saya ada wang simpanan dalam bank. Saya juga ada menerima wang dari ibu dan juga adik beradik. Bolehkah saya terima zakat.

 Terima kasih. Wan Fatimah.

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, menurut mazhab As-Syafi'e, wajib diagihkan kepada semua golongan asnaf yang berhak menerima zakat secara sama rata sekiranya mampu. Terdapat 8 golongan asnaf yang disebutkan didalam al-Quran. Firman Allah SWT didalam surah at-Taubah ayat 60 :

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Sehubungan dengan itu, zakat tidak boleh diberikan kepada seseorang melainkan telah diketahui bahawa dia berhak menerimanya atas dasar tergolong dalam salah satu kategori asnaf. Jika zakat diberikan kepada golongan yang tidak berhak memilikinya, maka zakat tersebut adalah tidak sah. Bahkan jika seseorang yang tidak tergolong dalam asnaf menerima sumbangan zakat dalam keadaan dia mengetahuinya, maka dia telah melakukan satu kezaliman kerana mengambil hak orang fakir dan miskin. Firman Allah SWT didalam surah al-Nisa' ayat 29 :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah.”

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 55

message user image