BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Saya ada pembantu dengan gaji rm1300 sebulan. Suami sudah tiada. Dia ada tanggungjawab dan menghantar wang ke kampung untuk 2 orang anak yg masih bersekolah dan belum kawin, dan juga untuk kedua2 orang tua dalam unur 70an dan tak berupaya bekerja. Selain itu, dia ada hutang dalam rm9000. Adakah dia kayak untuk diberi zakat?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang dikemukakan, orang yang layak diberikan zakat adalah dari 8 jenis golongan yang disebutkan didalam al-Quran. Firman Allah SWT didalam surah at-Taubah ayat 60 :

إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ ۖ فَرِيضَةً مِّنَ اللَّهِ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Justeru, secara umumnya orang gaji atau pembantu rumah boleh menerima zakat sekiranya memenuhi kriteria asnaf. Dalam kes ini, dengan pendapatan yang rendah, tanggungan yang ramai serta beban hutang, pembantu tersebut boleh tergolong dalam kategori miskin. Namun begitu, dari segi siyasah syar’iyyah dan maslahah, para fuqaha bersepakat bahawa ulil amri atau pemerintah mempunyai kuasa untuk mengutip, menerima dan mengagihkan zakat dan menetapkan peraturan demi menjaga kepentingan pengurusan zakat. Berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Taubah ayat 103:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. 

Oleh itu, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah tidak sah kerana perbuatan tersebut melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah . Namun begitu, puan boleh memberi bantuan kepada pembantu puan sebagai sedekah bukan sebagai zakat. 

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 52

message user image