BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

Saya ada pertanyaan. Perkara ni berlaku kepada keluarga isteri saya. Ayah mertua saya sudah lama tidak memberi duit belanja kepada mak mertua saya kerana beliau hendak menggunakan duit tersebut untuk membeli emas. Ayah mertua saya mendapat pencen bulanan. Mak mertua mengadu kepada kami baru-baru ini. Untuk belanja harian, mak mertua saya menggunakan duit yang diberikan oleh anak-anak, termasuk membeli lauk untuk dimakan bersama. Ayah mertua hanya menyediakan tempat tinggal (rumah yang didiami sejak mereka berkahwin). Mereka masih pasangan suami isteri. Apa hukum dalam Islam tentang perkara ni? Bil utili ditanggung oleh anak-anak. Mohon tidak disiarkan di laman sesawang. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan saudara, nafkah isteri adalah kewajipan suami selagi perkahwinan masih sah dan isteri tidak nusyuz. Nafkah bukan sekadar menyediakan tempat tinggal, tetapi merangkumi makan minum, pakaian, perubatan asas dan keperluan harian mengikut kemampuan serta uruf setempat.

Jika suami mempunyai pendapatan tetap seperti pencen dan mampu memberi nafkah, tetapi sengaja tidak menyediakan belanja harian kerana mahu menggunakan wang tersebut untuk membeli emas atau tujuan simpanan, maka perbuatan itu tidak menepati tuntutan syarak. Ini kerana nafkah isteri adalah kewajipan yang mesti didahulukan, manakala membeli emas atau menyimpan harta hanyalah perkara harus. Kewajipan tidak boleh ditinggalkan demi perkara yang tidak wajib.

Bantuan anak-anak kepada ibu adalah satu amal yang terpuji dan berpahala, namun ia tidak menggugurkan tanggungjawab suami sebagai pemberi nafkah utama. Jika suami masih berkemampuan tetapi mengabaikan nafkah, maka beliau berdosa kerana meninggalkan kewajipan. Namun sekiranya benar-benar tidak mampu, barulah tanggungjawab membantu boleh beralih kepada anak-anak.

Kesimpulannya, dalam keadaan suami mampu tetapi tidak memberi nafkah yang sewajarnya, hukum perbuatannya adalah salah di sisi syarak dan wajib diperbetulkan melalui perbincangan yang baik atau saluran yang sewajarnya.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.

 


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 77

message user image