Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt
Saya ingin bertanya tentang perawatan alternatif Islam
1. Apakah amalan perawat yang membuat perjanjian dengan Jin iaitu dengan mengislamkan Jin agar tidak mengganggu seseorang individu adalah benar dan dibolehkan?
2. Adakah amalan perawat 'memanggil jin' (di katakan menggunakan ayat Quran) untuk 'masuk' ke badan orang yang di rawat bagi tujuan berkomunikasi dengan Jin adalah berlainan/tidak sama dengan amalan 'menurun'? Adakah amalan ini termasuk dalam perubatan yg sahih?
Jawapan
Beberapa perkara yang perlu difahami terlebih dahulu berkenaan pengubatan Islam. Pengubatan Islam adalah salah satu ikhtiar atau usaha penyembuhan bagi sakit fizikal mahupun rohani. Terdapat segelintir perawat atau pusat rawatan tradisional yang mendakwa mereka adalah pengamal perubatan Islam tetapi pada hakikatnya tidak menepati syarak. Di Malaysia, untuk mengetahui seseorang perawat atau sesuatu pusat rawatan itu diyakini patuh syariah adalah dengan merujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mana-mana pusat rawatan yang berdaftar dengan KKM adalah diyakini selamat dan patuh syariah.
Bagi menjawab soalan yang diajukan:
1. Perawat yang membuat perjanjian dengan jin walaupun mengislamkan jin sekalipun, tidak menepati etika seorang perawat Islam. Hal ini kerana sifat jin itu sendiri yang suka menipu dan tidak boleh dipercayai walaupun jin tersebut mengaku Islam sekalipun. Firman Allah SWT dalam Surah al-Jin ayat 5 dan 6:
Maksudnya:`Dan bahawa sesungguhnya (nyatalah kesalahan) kita menyangka bahawa manusia dan jin tidak sekali-kali akan berani mengatakan sesuatu yang dusta terhadap Allah. `Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.
2. Sekiranya seorang pesakit yang dirasuki atau dimasuki jin semata-mata disebabkan oleh bacaan ayat-ayat ruqyah oleh perawat, maka kaedah dan pengamalan ini dibenarkan syarak. Sekiranya perawat tersebut menyeru jin dan meminta jin tersebut masuk ke dalam badan pesakit, maka kaedah ini dengan jelas bertentangan dengan syarak. Perbuatan menyeru jin ini dengan jelas meminta bantuan jin dan ia dilarang sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Jin ayat 6 di atas.
Sekian, terima kasih.