Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya ingin bertanya mengenai cara berkumur ketika mulut bernajis seperti ketika gusi berdarah dan muntah.
Saya ada membaca nukilan tuan mengenai perlu melalukan air dalam mulut secara berkumur pada kawasan had zahir iaitu makhraj huruf kho.
Namun semasa mempraktikkannya semasa gusi saya berdarah, kadang kala jadi dan kadang kala tidak jadi kerana rasa seperti ingin muntah apabila dilakukan. Saya juga sukar nak pastikan dah sampai makhraj huruf kho atau belum sampai.
Soalan saya,
1) Adakah mulut yang bernajis tadi sudah dikira suci jika kita hanya berkumur sekitar kawasan dalam mulut tanpa sampainya air ke makhraj huruf kho tersebut?
2) Adakah kahak dan air liur yang bercampur dengan air semasa berkumur itu menjejaskan sifat menyucikan pada air? Sebab kadang-kadang bila berkumur lama, air mutlak tadi dah bercampur banyak air liur dan terasa likat.
3) Adakah kahak yang terkeluar setelah selesai berkumur itu dikira najis kerana telah bercampur dengan air kumuran tadi?
4) Sebelum selesai berkumur dalam menyucikan mulut yang bernajis tersebut, terdapat lebihan air kumuran semasa berkumur terkeluar dari mulut dan meleleh turun dan terkena pada pakaian. Apakah lebihan air tersebut najis dan menajiskan pakaian saya?
5) Adakah setiap kali kita menyucikan mulut bernajis, air kumuran perlu sampai ke makhraj kho dan barulah dianggap suci? Kalau tak sampai ke makhraj huruf kho semasa berkumur, adakah selamanya mulut bernajis?
Mohon dijawab ya tuan. Sampai satu tahap saya rasa macam susah betul tatacara menyucikan mulut dalam agama sehinggakan rasa was was timbul serta menjadi semakin kronik hari demi hari. Pernah tinggalkan solat semata nak berkumur waktu maghrib semasa berbuka sebab takut terbatal puasa ketika berkumur.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
Agama Islam itu sifatnya memudahkan, bukannya membebankan sehingga menimbulkan rasa was-was yang kronik atau menyebabkan kita meninggalkan solat.
Oleh itu merujuk kepada persoalan yang diajukan:
1) Ya, mulut anda sudah dikira suci. Dalam mazhab Syafi'i, had (sempadan) zahir mulut bagi orang yang tidak berpuasa adalah setakat kawasan yang wajib dibasuh ketika berwuduk (sekadar ruang mulut yang boleh dicapai air dengan berkumur biasa).
Makhraj huruf Kho itu adalah had paling dalam (sempadan antara zahir dan batin). Jika anda sudah berkumur dan air meratai ruang mulut (gusi, celah gigi, lidah), maka mulut sudah suci. Anda tidak perlu memaksa diri sehingga rasa hendak muntah.
2) Secara umumnya, apabila kahak dan air liur itu bercampur dengan air semasa berkumur-kumur, maka ianya adalah tidak menjejaskan status air yang suci tersebut.
3) Jika anda sudah selesai menyucikan mulut (darah/muntah sudah hilang dan mulut sudah dibilas), maka kahak yang keluar selepas itu adalah suci.
4) Dalam situasi ini terdapat dua keadaan yang perlu diberi perhatian:
i. Jika air itu keluar semasa anda masih membersihkan sisa darah/muntah yang nampak (ain najis masih ada), maka air itu najis.
ii. Jika ia adalah lebihan air daripada bilasan terakhir (setelah rasa, bau, dan warna najis sudah hilang), maka air itu dihukumkan suci tetapi tidak lagi menyucikan (Musta’mal). Pakaian anda tidak najis.
5) Tidak sama sekali. Makhraj Kho itu disebut oleh para ulama sebagai panduan "maksimum" untuk memastikan kebersihan, bukannya syarat yang mewajibkan perlu sampai kepada had makhraj Kho tersebut apabila hendak berkumur-kumur atau membersihkan kawasan dalam mulut. Cukup sekadar berkumur-kumur dengan meratai ruang mulut bagi tujuan membersihkan darah/muntah di dalam mulut itu sudah memadai.
Jika anda sudah berkumur satu atau dua kali dan kesan darah/muntah sudah hilang dari segi rasa dan bau, maka hukumnya suci. Jangan biarkan gangguan syaitan membuatkan anda merasa agama ini susah sehingga sanggup meninggalkan solat atau berasa terbeban untuk berbuka puasa.
Sekian, terima kasih.