Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamu’alaikum Tuan Mufti, adakah puasa-puasa saya bertahun lepas dikira batal dan perlu diqadha sekiranya saya telan air liur basi dari perut dalam keadaan saya benar-benar jahil dan tidak tahu akan hukum perbezaannya ketika itu?
Jawapan
Imam al-Nawawi Rahimahullah yang bermazhab Syafi’e menyatakan di dalam kitab Raudhah al-Thalibin (2/357):
Maksudnya: Sekiranya ditelan air liur maka ia tidak membatalkan puasa.
Manakala di dalam kitab beliau yang berjudul Fatawa al-Nawawi (1/90) pula menyatakan:
Maksudnya: Apabila seseorang yang berpuasa itu merasa makanan dan tidak menelannya, atau dia mengunyah roti dan selainnya namun tidak menelannya, atau seseorang itu mengumpulkan air liur di dalam mulutnya, atau seekor lalat masuk ke dalam rongganya tanpa sebarang kehendak darinya, atau dia sedang mengadun gandum atau tepung dan selainnya lalu dia membuka mulutnya dan masuk sedikit daripada debu-debu, atau tertelan air berkumur atau istinsyak tanpa dia berlebihan (dalam perbuatan tersebut), adakah ini membatalkan puasa ? Jawapan: Kesemuanya ini tidak membatalkan puasa.
Seterusnya di dalam kitab al-Majmu’ beliau berkata: Menelan air liur tidak membatalkan puasa berdasarkan ijma’ sekiranya ia dilakukan secara adat. Ini kerana kesukaran untuk mengelakkan dari melakukannya iaitu jika menelan air liur sudah menjadi adat kebiasaan seseorang itu, maka ia tidak membatalkan puasa. Bahkan jika dia dengan sengaja menghimpunkan air liur di dalam mulutnya, kemudian dia menelannya, maka ia juga tidak membatalkan puasa mengikut pendapat sahih dalam mazhab al-Syafi’i. Walau bagaimanapun, sekiranya air liur seseorang itu telah keluar dari mulutnya, kemudian dimasukkan semula melalui lidahnya atau selain lidahnya, maka ia membatalkan puasa.
Merujuk persoalan yang diajukan, jika seseorang melakukan sesuatu yang membatalkan puasa tanpa pengetahuan, seperti menelan air liur basi dari perut, maka puasa tersebut tidak dianggap batal. Ini kerana tindakan tersebut dilakukan tanpa mengetahui hukum. Syariat Islam memberi kemaafan kepada mereka yang tidak mengetahui hukum. Ini termasuk situasi di mana seseorang tidak tahu bahawa tindakan tertentu membatalkan puasa. Dalam hal ini, tidak ada kewajipan untuk mengqadha puasa tersebut. Oleh itu, dalam situasi ini, tuan tidak perlu mengqadha puasa yang lalu. Namun begitu, disarankan agar berusaha untuk memahami hukum-hukum dalam Islam sebagai langkah penting untuk memastikan ibadah yang dilakukan adalah sah dan diterima.
Sekian, terima kasih.