Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum tuan,
Says dengan isteri telah bergaduh besar berkenaan balik kampung siapa sewaktu hari raya.
Isteri saya telah kemas beg dan terus keluar rumah untuk beraya di rumah emaknya.
Dalam keadaan marah, saya sebut ," kalau tak balik pagi raya , kita akan bercerai "
Malam raya kedua, kami balik kampung saya dan pagi raya ketiga kami di kampung saya.
Soalan saya, adakah lafaz taklik itu jatuh dan bagaimana patut says teruskan.
Terima kasih.
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan :
Merujuk kepada lafaz “kalau tak balik pagi raya, kita akan bercerai”, ia merupakan lafaz berbentuk khabari iaitu kenyataan yang membawa maksud cadangan atau gambaran keadaan pada masa hadapan, dan bukan suatu lafaz talak yang jelas. Dalam situasi ini, suami hanya menyatakan hasrat atau kemungkinan, bukan melafazkan perceraian secara langsung.
Oleh itu, lafaz tersebut tidak termasuk dalam lafaz talak sama ada secara sorih atau kinayah yang membawa kepada jatuhnya talak menurut mazhab Syafi‘i. Sekiranya suami benar-benar berkehendak untuk menceraikan isterinya, maka hendaklah dia melafazkan talak dengan lafaz yang jelas (sorih) atau kinayah yang disertai niat pada ketika itu atau masa akan datang.
Sekian terima kasih