Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Saya nak tanya. Pada tahun 2019, saya telah mengerjakan umrah, tetapi sewaktu tawaf, saya terasa seperti wudhu saya telah batal. Saya takut untuk keluar dan mengambil wudhu semula jadi saya meneruskan tawaf saya. Saya masih muda ketika itu (tetapi telah baligh) dan risau untuk bergerak sendiri mengambil wudhu dan saya tidak mahu mengganggu ahli keluarga saya. Baru baru ini, saya terbaca mengenai bahayanya sekiranya masih dalam ihram dan tidak sedar. Saya mula ragu ragu sama ada pada 7 tahun yang lepas, umrah saya sah atau tidak. Kerana telah 7 tahun berlalu, saya tidak pasti sama ada sewaktu saya meneruskan tawaf itu, saya hanya ragu-ragu telah batal wudhu atau saya mmg yakin bahawa saya batal wudhu ketika itu. Jadi sekarang, saya menjadi ragu-ragu sama ada saya masih dalam ihram atau tidak. Mengikut keluarga saya, kami ada melakukan umrah kali ke-2. Tetapi saya tidak ingat sama ada saya ada melakukannya atau tidak. Jadi adakah umrah kali pertama saya itu tidak sah? Saya juga risau adakah perkahwinan saya sah sekiranya saya dianggap masih dalam ihram. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan
Berdasarkan persoalan yang diajukan, waswas atau syak yang datang selepas selesai menunaikan ibadah terutamanya umrah tidak diambil kira. Disebutkan dalam al-Manthur fi al-Qawa'id al-Fiqhiyyah (2/260):
Maksudnya: Ibn al-Qattam dalam al-Mutorrahat: Imam al-Shafi‘i membezakan antara syak ketika melakukan perbuatan dan syak selepas selesai melakukan perbuatan. Beliau tidak mewajibkan pengulangan bagi yang kedua (iaitu syak selepas selesai), kerana hal itu akan membawa kepada kesukaran. Jika seseorang yang sedang solat dibebankan untuk sentiasa mengingati setiap perincian secara tepat, nescaya dia tidak akan dapat menunaikan solat, kerana hal itu amat sukar dan tidak mampu ditanggung oleh sesiapa pun. Maka diberikan kemaafan (rukhsah) dalam perkara tersebut. Penjelasannya dapat difahami melalui beberapa contoh:
Antaranya:
Jika seseorang telah melakukan tawaf untuk umrah, kemudian dia syak sama ada dia melakukan tawaf itu dalam keadaan suci atau tidak, maka dia tidak wajib mengulangi tawaf tersebut, kerana pada zahirnya dia telah menunaikan ibadah itu. Maka hukum yang telah sabit bagi ibadah tersebut tidak gugur hanya dengan syak.
Justeru, umrah yang puan kerjakan adalah sah dan puan dianggap keluar daripada ihram sejurus selesai mengerjakan umrah.
Sekian, terima kasih.