Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalam, saya nak tanya. Adakah perkataan "berpisah" adalah tergolong lafaz soreh?
Contoh suami cakap " tak nak solat, kita berpisah lah" atau "tak nak solat, berpisah lah" kalau macam tu. Sebab saya tak nak tanggung dosa awak. Dan isteri pun terus solat, tapi ada jugak meninggalkan solat selepas itu.
Soalannya, adakah sah cerai situasi diatas?
Jawapan
Menjawab pertanyaan tuan, lafaz "berpisah" bukan termasuk dalam lafaz sorih atau lafaz yang jelas tetapi ia tergolong dalam lafaz kinayah atau kiasan kerana lafaz "berpisah" boleh membawa pelbagai makna sama ada makna perceraian atau sekadar ancaman, ugutan, atau perpisahan sementara dan sebagainya.
Dalam perkara ini, Imam al-Nawawi dalam kitab Al-Majmu‘ Sharh al-Muhadhdhab menyatakan bahawa lafaz kinayah tidak menjatuhkan talak melainkan dengan niat yakni suami berniat cerai atau mentalakkan isterinya ketika melafazkan lafaz kinayah tersebut.
Merujuk kepada contoh yang diberikan: "tak nak solat, kita berpisah lah" atau "tak nak solat, berpisah lah", merupakan hasrat atau cadangan daripada suami sekiranya isteri tidak solat, maka mereka akan bercerai. Seandainya isteri tidak solat dan suami hendak meneruskan hasrat untuk bercerai dengan isteri, maka suami perlu melafazkan cerai atau talak. Seandainya suami tidak ingin meneruskan hasrat tersebut, maka talak tidak berlaku.
Ucapan suami tersebut tidak membawa kepada taklik talak.
Sekian terima kasih