Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada dua pertanyaan seperti berikut:
1) saya nk tanya berkenaan pemberian zakat kepada ahli keluarga yg miskin. Adakah zakat saya sah kalau dia turut menerima zakat daripada orang lain atau daripada tempat zakat tempat tinggal dia?
2)berapakah jumlah yang sesuai diberi kepada penerima zakat dalam golongan fakir miskin?
Mohon maklum balas daripada pihak tuan dengan segera.
Sekian,terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang dikemukakan:
1. Hukum mengagihkan zakat secara terus kepada asnaf (sama ada ahli keluarga atau bukan) adalah sah akan tetapi ia berdosa kerana melanggar peraturan yang telah ditetapkan oleh pemerintah. Sebaiknya zakat tersebut diserahkan kepada pihak berwajib yang telah dilantik oleh pemerintah (ulil amri) seperti di Lembaga Zakat Selangor, Majlis Agama Islam Negeri atau pihak-pihak yang dilantik oleh pemerintah. Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat 59 :
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-Amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”
Walau bagaimanapun boleh digantikan niat zakat kepada bersedekah terhadap anggota keluarga. Ini kerana bersedekah kepada ahli keluarga adalah yang paling afdal. Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: “Dan dinar (harta) yang kamu belanjakan di jalan Allah dan dinar yang kamu berikan kepada hamba (untuk membebaskan) dan dinar yang kamu sedekahkan kepada orang miskin serta dinar yang kamu sedekahkan kepada keluargamu. Maka yang paling besar ganjaran pahalanya adalah yang kamu sedekahkan kepada keluargamu”. (Riwayat Muslim)
2. Terdapat 8 asnaf atau golongan yang berhak mendapat zakat. Firman Allah SWT di dalam surah Al-Tawbah, ayat 60:
إِنَّمَا الصَّدَقَاتُ لِلْفُقَرَاءِ وَالْمَسَاكِينِ وَالْعَامِلِينَ عَلَيْهَا وَالْمُؤَلَّفَةِ قُلُوبُهُمْ وَفِي الرِّقَابِ وَالْغَارِمِينَ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ وَابْنِ السَّبِيلِ فَرِيضَةً مِنَ اللَّهِ وَاللَّهُ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Menyerahkan urusan pembahagian zakat kepada pihak yang berautoriti seperti Lembaga Zakat Selangor adalah bagi memastikan pembahagian zakat dapat dibuat secara adil serta dapat mengelakkan daripada pemberian bertindan yang sepatutnya diberikan kepada orang lain yang layak. Ini adalah kerana mereka lebih mengetahui kadar yang sepatutnya diperolehi oleh setiap asnaf.
Sekian, terima kasih.