Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, soalan yang saya ingin bertanya adalah tentang seseorang dari kenalan saya. Saya akan namakan sebagai (Syam).
Syam sudah pun berkahwin. Dan pada bulan ramadan di waktu siang, Syam meminta isterinya untuk membatalkan puasa bersama sama dengan sengaja atas alasan (ingin bersama) di waktu siang. Jadi mereka pun membatalkan puasa bersama sama dan melakukan hubungan. Hal ini terjadi ketika Syam masih lagi sihat tubuh badan. Antara dendanya adalah puasa 2 bulan berturut-turut, atau sedekah makan 60 orang miskin. Akan tetapi, Syam tidak menjalankan antara kedua dua dendanya (kaffarah) itu. Sekarang Syam berada di dalam keadaan uzur yang tidak lagi mampu untuk menunaikan puasa.
Jadi, soalan saya :-
1. Perlukah Syam membayar Fidyah untuk 2 bulan (kaffarah) itu seumur hidup atau hanya sekali? atau Syam boleh membuat pilihan lain dengan hanya memberi 60 orang miskin makan untuk hanya sekali? jadi dendanya akan dianggap selesai
2. Sekiranya jawapannya adalah membayar Fidyah seumur hidup, maka bayaran Fidyah itu perlu ditambah dengan jumlah hari yang Syam tidak puasa pada tahun sebelumnya (qada')?
2bulan (kaffarah) + 7hari (qada') = 67hari bayaran Fidyah yang perlu dibuat?
Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk membaca dan menjawab soalan saya.
Jawapan
Merujuk kepada soalan yang diajukan:
1. Pandangan muktamad dalam mazhab Syafi'i, seseorang yang membatalkan puasa Ramadhan dengan sengaja kemudian melakukan persetubuhan pada siang hari bersama isterinya, tidak dikenakan ke atasnya kaffarah. Namun perbuatan tersebut adalah berdosa besar dan wajib ke atasnya bertaubat serta menyesali perbuatan yang dilakukannya, di samping mengqada' puasa yang ditinggalkan.
2. Syam hanya perlu membayar fidyah puasa yang ditinggalkan pada tahun sebelumnya.
Sekian, terima kasih.