Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan Mufti & Seluruh Warga mufti Selangor.
Saya telah mendapat jawapan dari Pihak Tuan Mufti tentang qunut Subuh di Selangor pada tarikh 24/2/2026. Cuma disini ada sedikit ketidakpastian dari jawapan pihak mufti.
Jawapan dari Pihak Mufti
Pengamalan bacaan qunut dalam solat fardu Subuh di Malaysia adalah kerana sejak dari dahulu lagi tanah Nusantara telah lama mengamalkan mazhab Syafi'i. Berbeza pula dengan Mekah dan Madinah atau Arab Saudi, mereka mengamalkan mazhab Hanbali. Mazhab Hanbali pula berpegang bahawa tiada bacaan qunut dalam solat fardu Subuh. Kesemua pandangan dan pendapat daripada mana-mana empat mazhab yang disebutkan adalah benar dan tidak boleh dipertikaikan.
Nabi Muhammad S.A.W itu 1 individu dan Penghulu segala Nabi & Rasul.
Persoalan
1. Macam mana boleh kesemua pandangan & pendapat adalah benar walhal Mazhab Maliki & Syafii mengatakan ada qunut Subuh, Mazhab Hanbali & Hanafi pula kata tiada qunut Subuh ? Bukan ke perbuatan buat & tidak buat sesuatu perbuatan yang bercanggah ?
Terima kasih Tuan mufti & seluruh warga mufti Selangor kerana mengambil masa untuk menjawab soalan saya.
Jawapan
Dalam memahami perbezaan pandangan dan mazhab, adalah lebih baiik difahami beberapa perkara asas terlebih dahulu.
1. Hukum-hakam Islam pada sudut dalil boleh dibahagikan kepada dua bahagian. Bahagian pertama adalah hukum yang terhasil daripada dalil yang bersifat qat'i. Bahagian kedua adalah hukum yang terhasil daripada dalil yang bersifat zhanni. Dalil yang bersifat qat'i adalah dalil yang tidak perlu melalui proses ijtihad kerana ia adalah perkara yang telah pasti ditetapkan dalam agama (ma'lum min al-din bi al-darurah). Contohnya seperti kewajipan solat fardu 5 waktu, kewajipan menunaikan zakat dan sebagainya. Dalil-dalil yang bersifat qat'i ini tidak boleh berlaku sebarang perbezaan pandangan dan percanggahan.
Dalil yang bersifat zhanni pula adalah dalil yang perlu melalui proses ijtihad kerana sifat dalil zhanni ini boleh menerima sebarang bentuk kebarangkalian makna dan hukum. Contohnya seperti bacaan-bacaan dalam solat, kaifiat pelaksanaan ibadah tertentu dan sebagainya. Oleh itu, daripada dalil bersifat zhanni ini menatijahkan perbezaan pandangan dalam kalangan ulama dan imam-imam mazhab.
2. Syarak menerima perbezaan pandangan sekiranya ia berlandaskan kepada ijtihad. Hal ini kerana perbezaan pandangan terhadap urusan agama telah berlaku sejak zaman Baginda SAW dan ia direstui oleh Baginda SAW sendiri. Hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar RA katanya:
Maksudnya: Nabi SAW bersabda kepada kami ketika pulang dari Perang al-Ahzab: Janganlah kalian menunaikan solat Asar melainkan setelah tiba di Bani Qurayzah. Maka sebahagian mereka mendapati telah masuk waktu Asar semasa dalam perjalanan. Lalu sebahagian daripada mereka berkata: Kita tidak akan solat sehingga kita sampai ke sana. Sebahagian yang lain pula berkata: Bahkan kita solat sekarang, kerana bukan itu yang dimaksudkan kepada kita. Kemudian perkara itu diceritakan kepada Nabi SAW dan Baginda SAW tidak menyalahkan seorang pun daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menunjukkan perbezaan pandangan para Sahabat RA dalam memahami maksud Baginda SAW. Sebahagian Sahabat RA berpegang kepada zahir sabda Nabi SAW lalu menangguhkan solat asar sehingga tiba ke Bani Qurayzah. Sebahagian lain pula memahami bahawa Baginda SAW berkiasan supaya jangan lewat sampai ke Bani Qurayzah dan perlu segera ke sana. Akhirnya kedua-dua pandangan para Sahabat RA ini diterima baik oleh Baginda SAW kerana ia adalah hasil ijtihad mereka.
3. Hal yang sama juga dalam memahami tentang bacaan Qunut dalam Solat Subuh. Para imam mazhab berhujah dengan dalil yang sama tetapi mempunyai pemahaman dan pandangan yang berbeza. Imam-imam mazhab berhujah antaranya dengan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA katanya:
Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca qunut selama sebulan dalam solat Subuh mendoakan kebinasaan ke atas beberapa kabilah Arab: Usayyah, Dhakwan, Ri‘l dan Lihyan. (Riwayat Ahmad)
Dalam riwayat lain daripada Anas bin Malik RA juga katanya:
Maksudnya: Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan qunut dalam solat Subuh sehinggalah Baginda SAW wafat. (Riwayat Ahmad)
Dalam riwayat lain juga daripada Anas bin Malik RA katanya:
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW baca qunut dalam solat Subuh selama sebulan kemudian meninggalkannya. (Riwayat Ahmad)
Hadis riwayat Anas RA ini menjadi antara dalil penghujahan oleh setiap imam mazhab. Akan tetapi cara mereka memahami dan berinteraksi dengan dalil-dalil ini menatijahkan pandangan yang berbeza. Walaupun secara zahirnya kelihatan berlaku percanggahan, tetapi hakikatnya ia telah diharmonikan. Sebahagian imam memandang bacaan qunut Subuh pada asalnya difardukan tetapi kemudian ia telah dimansukhkan. Sebahagian imam pula memandang bacaan qunut tidak dimansukhkan, tetapi yang dimansukhkan adalah doa kebinasaan kepada sebahagian kabilah Arab. Manakala bacaan qunut dalam solat Subuh masih diteruskan. Oleh itu, dalam mazhab al-Syafi'i bacaan qunut disunatkan dalam solat Subuh dan tidaklah ia menjadi rukun solat. Perkara ini juga hakikatnya tidak bercanggah dengan mazhab yang tidak membaca qunut Subuh. Perbezaan ini hanya sekitar adakah ia sunat dibaca dalam solat Subuh atau tidak.
Sekian, terima kasih.