BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wrt,

Saya sering buat dosa maksiat. Saya sedih yang keterlaluan sebab setiap kali saya jatuh, saya bertaubat namun saya akan ulang lagi dosa maksiat itu berkali-kali. 

Saya rasa putus ada dan hampir putus asa.

Jadi saya cuba bernazar bahawa jika saya buat dosa maksiat itu lagi saya akan puasa 3 hari berturut-turut.

Namun selepas bernazar saya masih gagal kawal keinginan saya sehingga langgar nazar saya berkali-kali. Jadi jumlah puasa sudah bertambah menjadi berpuluh-puluh hari.

Saya sudah tidak mampu berpuasa 3 hari berturut-turut sehingga cukup 30 hari memandangkan saya dipandang pelik oleh rakan sekerja sebab sering berpuasa.

Jadi apa saya boleh buat untuk denda yang saya perlu tanggung akibat langgar nazar Dan tak mampu puasa 3 hari berturut-turut setiap kali saya terjatuh dalam dosa.

Mohon bantuan, terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Secara asasnya, nazar dari sudut istilah adalah: mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri kepada Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan atau mengaitkan dengan suatu perkara.

Hukum melunaskan nazar adalah WAJIB sebagaimana hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)

Namun begitu, nazar tidak berlaku dan tidak sah dalam perkara yang berkaitan dengan maksiat, hal ini kerana perbuatan maksiat merupakan larangan yang jelas dan sememangnya perlu ditinggalkan dalam Islam. Maka, perbuatan bernazar atas kesalahan maksiat yang dilakukan adalah tidak sah.

Justeru, puan tidak diwajibkan mengerjakan puasa-puasa tersebut kerana ia tidak dihukumkan sebagai nazar sebagaimana yang telah dijelaskan. Apabila ia tidak dihukumkan nazar, maka segala yang berkaitan dengannya seperti puasa dan kaffarah tidak menjadi tanggungan terhadap diri puan. Maka jalan keluarnya adalah bertaubat secara bersungguh kepada Allah SWT atas kekhilafan yang telah dilakukan. Hal ini adalah berdasarkan firman Allah SWT di dalam Surah Ali-Imran ayat ke 135:

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 67

message user image