BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya telah membeli 1 saham yang pada masa itu berstatus syariah pada 10/10/2025.
Namun, saya baru tahu semalam bahawa saham itu telah dinilai semula dan telah berstatus tidak syariah pada 30/11/2025.
Semakan saya, pada 30/11/2025 - saya rugi manakala pada 3/3/2026 (semalam), kaunter ini dalam posisi untung.

Pertanyaan saya.
a. Adakah saya perlu segera menjual kaunter ini atau boleh sahaja biarkan sehingga status kaunter menjadi patuh syariah semula?
b. Jika saya jual kaunter itu, adakah semua keuntungan yang diperolehi selepas penolakan modal,  berstatus haram untuk digunakan?
c. JIka semua keuntungan berstatus haram - adakah boleh saya salurkan semua amaun kepada pusat zakat dan declare sebagai zakat pendapatan juga? (kiranya zakat pendapatan berdasarkan kiraan pendapatan sebenar + semua amaun keuntungan)

Sekian.
 


message user image

Jawapan  

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, secara prinsipnya, pemilikan saham dalam syarikat yang menjalankan aktiviti perniagaan halal dan patuh syariah adalah harus, malah digalakkan jika ia menjadi pelaburan yang bermanfaat. Walau bagaimanapun, jika syarikat tersebut menjalankan aktiviti teras yang haram (seperti arak, judi, riba, pelacuran, dsb.) atau struktur kewangannya berasaskan riba, maka hukum memiliki saham syarikat tersebut adalah haram, berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada al-Nukman Bin Basyir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الحلالُ بَيِّنٌ والحرامُ بَيِّنٌ

Maksudnya: Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, berbalik kepada persoalan:

a. Apabila sesebuah saham yang pada asalnya patuh syariah bertukar status menjadi tidak patuh syariah, anda perlu mengambil tindakan untuk melupuskan saham tersebut. Ini adalah kerana meneruskan pegangan saham yang tidak patuh syariah bermakna anda terlibat dalam aktiviti yang tidak selari dengan prinsip Islam.

Namun, anda diberi tempoh masa untuk melupuskan saham tersebut. Tempoh ini biasanya ditetapkan oleh badan penasihat syariah yang berkaitan (contohnya, Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia). Dalam tempoh tersebut, anda boleh menjual saham tersebut.

b. Keuntungan yang anda perolehi daripada penjualan saham yang bertukar status tidak patuh syariah perlu diasingkan. Modal asal yang anda laburkan adalah hak anda. Keuntungan yang diperolehi pula perlu dilihat pada tempoh masa.

Jika keuntungan itu diperolehi semasa saham masih berstatus patuh syariah, keuntungan tersebut adalah halal. Jika keuntungan itu diperolehi selepas saham bertukar status tidak patuh syariah, maka keuntungan tersebut dianggap sebagai keuntungan yang tidak patuh syariah atau keuntungan yang syubhah.

Keuntungan yang tidak patuh syariah ini tidak boleh digunakan untuk kegunaan peribadi. Ia perlu disucikan dengan cara disalurkan kepada Baitulmal. Sehubungan dengan itu, wang tersebut boleh diserahkan kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Hal ini selaras dengan Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor :

Satu ketetapan berkenaan penyaluran wang tidak patuh syariah atau wang haram ini juga telah dibuat melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Bil. 1/2009 pada 18hb. Mac 2009 yang menyatakan:

  1. Wang tidak patuh syariah yang diperolehi boleh dijadikan sumber baitulmal dan harus dimasukkan ke dalam akaun baitulmal.
  2. Penggunaan wang tidak patuh syariah harus untuk kegunaan menjalankan operasi perjalanan kerja di MAIS seperti pembinaan, penyelenggaraan bangunan, emolumen, pendidikan, pertanian, penyelidikan, perubatan, kemudahan asas seperti pembinaan dewan, tandas, jambatan dan lain-lain untuk kegunaan umum.      

c. Keuntungan yang tidak patuh syariah (haram) tidak boleh dianggap sebagai zakat. Zakat adalah ibadah yang mensucikan harta yang halal dan wajib dikeluarkan apabila memenuhi syarat-syarat tertentu. Keuntungan yang haram pula perlu disucikan dengan cara disalurkan kepada Baitulmal, tetapi ia tidak dikira sebagai zakat dan anda tidak mendapat pahala zakat daripadanya.

Anda perlu mengira zakat pendapatan anda secara berasingan berdasarkan pendapatan yang halal dan memenuhi syarat nisab dan haul. Amaun keuntungan daripada saham tidak patuh syariah yang disalurkan kepada Baitulmal adalah berasingan daripada kewajipan zakat anda.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2026
Jumlah Pelawat : 141

message user image