Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz/ustazah,
Saya telah mengiklankan barang saya yang terpakai ,untuk dijual dan ada pembeli yang berminat dan telah membayar harga barang secara atas talian
Tetapi sebelum saya memberi barang kepadanya, saya bertukar fikiran dan tidak mahu berpisah dengan barang tersebut. Saya mahu mengembalikan wang kepada pembeli tapi dia tetap mahu membeli barang itu. Saya tetap mahu pulangkan wang dia.
Apakah berdosa /hukum sekiranya penjual ingin membatalkan pembelian?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan, jual beli tersebut adalah sah apabila berlaku ijab dan qabul serta bayaran telah dibuat dan dipersetujui. Penerangan puan menyatakan bahawa puan telah mengiklankan barang, pembeli bersetuju untuk membeli dan telah membuat bayaran harga barang tersebut. Jadi, jual beli itu telah berlaku dan mengikat. Jika penjual ingin membatalkan jual beli setelah perkara ini telah selesai dibuat, penjual hendaklah mendapatkan persetujuan pembeli kerana barang tersebut telah menjadi miliknya.
Sekian. Terima kasih.