Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Apakah hukum bekerja dengan sebuah company yang mempunyai client dari Israel? Sebab ini pertama kali saya terlibat dengan projek yang melibatkan client dari sana. Untuk pengetahuan pihak Ustaz, saya bekerja dalam sektor R&D. Jadi saya tidak pasti sama ada produk yang dikeluarkan untuk kegunaan ketenteraan di sana atau tidak. Dan untuk pengetahuan Ustaz juga, bidang pekerjaan saya memang sama ada langsung atau tidak langsung, akan terlibat dengan pihak sana lebih lebih lagi syarikat MNC. Seperti beberapa MNC yang lain mempunyai cawangan syarikat di sana. Mohon pencerahan.
Terima kasih
Jawapan
Kaedah fiqh:
Maksudnya: “Asal hukum dalam muamalat adalah harus.”
Secara umum, tidak semestinya haram bekerja dengan syarikat yang mempunyai klien dari Israel. Dalam Islam, muamalat (urusan perniagaan) dengan orang bukan Muslim pada asalnya harus, selagi tidak membantu kezaliman atau perkara haram. Nabi Muhammad SAW sendiri pernah berurusan jual beli dengan orang Yahudi di Madinah. Bahkan baginda pernah menggadaikan baju besi kepada seorang Yahudi sebagai urusan hutang.
Namun ia boleh menjadi haram jika pekerjaan itu secara jelas membantu kezaliman atau peperangan seperti membangunkan senjata atau teknologi ketenteraan yang digunakan untuk menindas orang lain, terlibat secara langsung dalam industri pertahanan Israel dan projek yang jelas membantu operasi ketenteraan atau penjajahan. Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 2:
Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.
Kesimpulannya bekerja di syarikat yang ada klien dari Israel tidak semestinya haram. Ia menjadi haram jika secara jelas membantu kezaliman atau ketenteraan yang menindas. Jika kerja anda R&D umum dan tidak diketahui digunakan untuk ketenteraan, kebanyakan ulama melihatnya harus. Sekiranya jelas dan terang kegunaannya adalah untuk ketenteraan dan lain-lain yang merugikan Islam, ada baiknya tidak terlibat secara langsung dengan projek itu atau mencari pekerjaan lain.
Sekian, terima kasih