Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt.
Apakah hukum sekiranya saya masih minum di saat waktu Subuh telah pun masuk?
Situasi saya pada waktu ini ialah tidak sedar (boleh jadi juga ragu-ragu) sudah masuk waktu Subuh. Memandangkan pada ketika itu saya masih belum mendengar azan Subuh, saya minum seperti biasa kerana beranggapan masih sempat minum lagi. Semasa sedang minum, saya baru perasan jam sudah pun menunjukkan 6.15am (Nota: Waktu Subuh sebelumnya ialah jam 6.15am) tapi sebab belum azan, saya beranggapan mungkin hari ini waktu Subuh lewat seminit dan terus sambung satu tegukan lagi secara spontan sambil semak Waktu Subuh di internet. Terkejutnya saya apabila waktu Subuh yang dipaparkan ialah jam 6.14am dan terus berhenti minum serta merta.
Jadi, adakah sah puasa saya atau Wajib saya qadakan?
Andai kata puasa saya terbatal, adakah saya berdosa dan mendapat murka Allah di atas tanggapan dan sangkaan saya yang salah?
Mohon pencerahan daripada pihak Mufti dan saya dahulukan dengan terima kasih banyak-banyak.
Jawapan
Pada asasnya, sekiranya masih terdapat makanan atau minuman di dalam mulut kita sejurus azan berkumandang, dengan catatan bahawa azan itu dilaungkan bertepatan dengan masuknya waktu solat sebenar, maka kita wajib mengeluarkannya serta merta dari mulut. Jika kita teruskan menelan makanan tanpa mengeluarkannya kembali maka, batal lah puasa pada hari tersebut dan wajib qada' puasanya. Hal ini bagi memastikan kita tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa setelah terbit fajar (masuk waktu Subuh). Adapun sekiranya makanan atau minuman tersebut sudah sampai di bahagian tekak ketika azan berkumandang, maka boleh terus menelan sahaja dan ianya dimaafkan serta boleh meneruskan puasa pada hari tersebut. Namun seandainya diyakini, makan dan minum selepas masuk waktu solat Subuh, maka puasanya tidak sah.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, puasa tuan adalah terbatal kerana ketika tuan selesai meminum air tersebut, waktu Subuh sebenarnya telah pun masuk. Oleh itu, puasa pada hari tersebut tidak sah dan wajib diqada’. Sehubungan itu, disarankan agar tuan membiasakan diri bersahur sebelum masuknya waktu imsak, kemudian berimsak dengan menahan diri daripada makan, minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa apabila tiba waktunya, selaras dengan ketetapan waktu yang telah dijadualkan di negeri tuan. Langkah ini merupakan satu bentuk ihtiyat (berjaga-jaga) bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.
Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 187 :-
Maksudnya: Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib).
Sekian, terima kasih.