Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum
Pertanyaan mengenai junub.... ini untuk yang berkeluarga... semasa dalam junub boleh makan sahur dan berniat puasa....adakah puasa kita itu sah.... kemudian sebelum sembahyang subuh baru kita mandi junub untuk membersihkan diri sebelum sembahyang.....
Mohon pencerahan sikit tuan....
Terima kasih
Jawapan
Merujuk persoalan yang diajukan, puasa pada hari tersebut adalah sah walaupun berada dalam keadaan junub ketika waktu sahur atau ketika masuk waktu subuh, selagi mana dia telah berniat untuk berpuasa. Oleh yang demikian, keadaan junub tidak menjejaskan kesahan puasa, namun seseorang itu tetap wajib mandi junub sebelum menunaikan solat. Ini bertepatan dengan hadis daripada Aisyah dan Ummu Salamah R.Anhuma, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
Maksudnya: Adalah Rasulullah SAW pernah mendapati fajar telah terbit dan ketika itu beliau dalam keadaan junub setelah bercampur dengan isterinya. Kemudian beliau mandi dan berpuasa. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sekian, terima kasih.