Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada pertanyaan berkenaan haidh.
1) Saya dah check menggunakan tisu dan ia sudah kering sepenuhnya tanpa tompokan apa-apa selama 10 jam selepas itu, ada cecair yang banyak dan ia bercampur dengan warna kelabu dan coklat. Adakah tempoh haidh saya sudah tamat sebab saya tahu cara nak tahu haidh dah habis atau belum adakah kering sepenuhnya tapi saya keliru sebab ada warna lain jugak.
2) Kalau ia membantu, warna coklat, kelabu dan pink itu tidak keluar dalam kuantiti yang banyak. Ia seperti urat yang kecil dalam cecair putih.
3) Saya mohon sangat bantuan sebab saya dengar ceramah ustaz Azhar Idrus dan beliau kata kalau dah kering haidh dah habis tapi dekat google ia kata kalau ada warna lain lepas kering sepenuhnya itu masih haidh.
Saya mohon pencerahan berkenaan hal ini. Terima kasih
Jawapan
Secara asasnya, darah yang keluar daripada rahim wanita terbahagi kepada lima iaitu hitam, merah, merah kekuningan (kuning emas/ perang), kuning dan keruh (kuning keputih-putihan/ tidak jernih- pertengahan antara putih dan hitam seperti air yang kotor).
Jadi, merujuk kepada persoalan, jika darah yang masih keluar berwarna coklat, kelabu dan pink (kemerahan) kesemuanya dihukumkan sebagai darah haid jika ia keluar dalam tempoh maksimum haid (15 hari 15 malam). Walaupun darah berhenti 10 jam, kemudian keluar semula dalam tempoh atau tidak melebihi 15 hari 15 malam, ia dihukumkan sebagai darah haid.
Dalam kitab al-Najmu al-Wahhaj fi Syarhi al-Minhaj menyatakan:
Maksudnya: Seorang wanita melihat (keluar darah) dalam tempoh umur haid sekurang-kurangnya (sehari semalam) dan tidak melepasi sebanyak-banyaknya (15 hari 15 malam), maka kesemuanya adalah haid, sama ada bersamaan tempoh tersebut dengan adat sebelum ini atau sebaliknnya, juga sama ada sama warnanya atau berbeza. Ini kerana syarat-syarat haid telah terkumpul padanya.
Sekian. Terima kasih.